Jumaat, 20 Mei 2016

3 sindiket jenayah komersial lumpuh

SHAH ALAM: Tiga sindiket penipuan membabitkan kes pecah amanah, kad kredit palsu dan pelaburan ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor dengan tertangkapnya 16 individu di negeri ini, pada 16 hingga 18 Mei lalu. 

Ketua JSJK Selangor, Asisten Komisioner Mohd Sakri Ariffin, berkata tangkapan pertama pada 16 Mei lalu membabitkan kes pecah amanah seorang pegawai bank. Katanya, suspek berusia 35 tahun itu dipercayai menipu lebih RM5.4 juta wang milik 32 pelabur sejak tahun 2014. 

"Suspek dikesan melarikan diri ke Chiang Mai, Thailand dan bersembunyi selama setahun sebelum pulang ke tanah air dan ditahan ketika menginap di sebuah hotel di Cheras, kira-kira jam 6 petang, 16 Mei lalu.


"Suspek direman hingga hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini. 

Dalam kes kedua, lima suspek termasuk seorang dalang berusia antara 28 hingga 40 tahun ditahan di Subang Jaya kelmarin, selepas dipercayai terbabit dengan penipuan pelaburan mata wang asing membabitkan kerugian lebih RM5 juta. Mohd Sakri berkata, dalang dikenali sebagai 'Money King' itu menggunakan laman sesawang ww.nexusfx.com dan www.mymoorescapital.com untuk memperdayakan pelabur yang membuat pelaburan minimum AS$1,000 (RM4,080). 

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya mangsa menyertai program pelaburan matawang asing yang tidak wujud. "Mangsa yang pernah melabur dengan syarikat Real Biz Network dan Matrix Galaxy diminta tampil membuat laporan polis," katanya. 

Sementara itu, pada 17 Mei lalu, 10 individu termasuk empat wanita berusia antara 20 hingga 35 tahun dipercayai ejen kad kredit palsu, ditahan polis beberapa serbuan di sekitar Selangor. 

Polis turut merampas 117 kad kredit palsu bersama suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan.

Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...