Selasa, 31 Mei 2016

Deklarasi Mahathir: Polis Akan Panggil Azharuddin

KUALA TERENGGANU: Polis akan memanggil pengatur cara komputer Azharuddin Othman, 30, yang dipercayai terlibat menjual maklumat pangkalan data penduduk negara bagi tujuan memalsukan tandatangan dalam 'Deklarasi Mahathir'.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya akan menjalankan siasatan dan mendapatkan butiran terperinci berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
"Kami akan memanggil individu itu dalam masa dua atau tiga hari lagi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan.

"Selain itu, kami juga akan meneliti terlebih dahulu jenis maklumat yang disebarkan sebelum tindakan lanjut dilakukan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Wisma Darul Iman di sini Isnin.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Abd Ghani dan Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman.
Noor Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas pengakuan bersumpah Azharuddin yang mengaku membekalkan data yang diperlukan kepada Syarul Ema Rena Abu Samah atau turut dikenali dengan gelaran 'Ratu Naga'.
 - BERNAMA

Bersambung: KLIK SINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...