Polis Diraja
Malaysia (PDRM) tidak gentar dengan ancaman
kumpulan militan IS rakyat Malaysia menerusi rakaman video yang tersebar luas
di media sosial.
Ketua Polis
Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata rakaman itu bukan video pertama
dimuat naik kumpulan berkenaan, sebaliknya sudah banyak sebelum ini.
“Polis tidak
akan sesekali membenarkan elemen IS bertapak dan disebarkan di negara ini.
“Jangan cuba
gertak kami. Kalau setakat membuat liputan dari jauh, kami tak gentar,” katanya
kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan
(NBOS): Go To Safety Points bersama PETRONAS di stesen minyak PETRONAS Jalan
Kolam Air, di sini, sebentar tadi.
Khalid berkata,
pihaknya tidak
memandang ringan ugutan terbabit dan seluruh pasukan berada pada
tahap kesiapsiagaan tinggi dalam memantau aktiviti kumpulan berkenaan di negara
ini.
Katanya, ia
termasuk pemantauan di sempadan yang dijadikan laluan mereka keluar masuk.
“Kawalan
keselamatan (di pintu sempadan) memang ditingkatkan. Kita yakin petugas di
pintu masuk akan lebih berhati-hati dalam membuat tapisan mereka yang masuk
dari sana,” katanya.
Pada masa sama,
beliau turut meminta orang ramai sentiasa menjaga keselamatan di tempat awam
sebagai langkah berjaga-jaga.
Semalam, polis
mengesahkan seorang daripada tiga individu dalam klip video yang dimuat naik
kumpulan militan IS adalah rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Mohd Rafi Udin.
Ketua Penolong
Pengarah Bahagian Antipengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan
Mydin Pitchay, berkata Mohd Rafi berasal dari Negeri Sembilan dan meninggalkan Malaysia untuk menyertai
IS di Syria pada tahun 2014.
Mohd Rafi juga
adalah ahli
Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM) yang pernah ditahan mengikut Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA). – BH