KEMAMAN – Tragedi letupan mercun yang berlaku
kebelakangan ini hingga mendatangkan kecederaan parah langsung tidak dijadikan
iktibar dan tidak diendahkan oleh seorang operator mesin apabila masih berdegil
menjual mercun.
Suspek berusia 30 tahun bagaimanapun terkantoi apabila 79 bungkus pelbagai jenis mercun miliknya dianggarkan bernilai
RM7,000 berjaya dirampas selepas polis
menahannya di hadapan sebuah bengkel menyimpan
besi tempatnya bekerja di Jalan Jakar, Chukai, di
sini, kira-kira jam 11 malam, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim
berkata, satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola bersaiz kecil
dirampas daripada suspek ketika pihak polis menangkap lelaki itu yang dalam
keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil soal siasat di lokasi tangkapan, suspek yang masih
bujang membawa pihak polis masuk ke dalam bengkel tempatnya bekerja sebelum
polis menemui sebanyak 79 bungkus mercun dari lapan jenis mercun.
“Mercun yang paling banyak sekali adalah mercun bola bersaiz besar
iaitu 27 bungkus. Mercun-mercun lain yang turut kita rampas adalah enam bungkus
mercun bola bersaiz kecil, 11 bungkus mercun ketupat, empat kotak mercun small
festival ball, 18 kotak mercun happy boom dan satu unit mercun five works king
228 shots.