Khamis, 17 November 2016

Penglibatan kes salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM

MARANG - Penglibatan kes salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih terkawal dan usaha membanterasnya giat dilaksanakan.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata daripada 125,000 orang termasuk pegawai dan anggota, 187 orang sahaja disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tahun ini.

Katanya dalam tempoh empat tahun sejak 2013, hanya satu peratus daripada lebih 100,000 orang terbabit melakukan kesalahan kecil termasuk mengingkari perintah dan melanggar peraturan ditetapkan jabatan.


"Hasil pemeriksaan yang kita jalankan melibatkan lebih 12,000 anggota, hanya 1,200 orang sahaja dalam tempoh empat tahun melakukan kesalahan kecil seperti cuai, lewat ke tempat kerja dan tidak mengikut peraturan penugasan.

"Begitu juga dengan kes rasuah..tidak ramai dan sangat kecil. Mereka yang disiasat SPRM hingga kini hanya 187 orang daripada 125,000 anggota kita di seluruh negara. Itupun belum tentu lagi terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perjumpaan bersama warga PDRM kontinjen negeri Terengganu di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini hari ini.

Jalaluddin berkata walaupun pada jumlah kecil, ia tetap memberi impak besar kerana melibatkan integriti ekoran imej polis yang seharusnya amanah dan bebas daripada kesalahan salah laku.

Jelasnya, kesalahan dilakukan itu melibatkan pegawai berpangkat Asisten Superintendan dan Inspektor manakala Lans Koperal serta Koperal bagi anggota.

Antara tindakan dikenakan ke atas mereka yang melanggar peraturan ialah tidak dinaikkan pangkat dan sekatan pemberian bonus.

Sementara itu, bagi mengelak keadaan tersebut berterusan, Jalaluddin berkata pihak JIPS melaksanakan pelbagai usaha termasuk menetapkan kod etika disiplin, melancarkan buku manual (Peraturan Standard) bermula Jun lalu serta menyiapkan pelan integriti untuk tempoh sehingga 2020.
   
"Di mana puncanya kita harus lihat dan kenapa ingkar perintah dan apa sebab tidak bertanggungjawab...jadi kita keluarkan buku berkenaan dengan maklumat lengkap berkaitan tugas dan tanggungjawab secara komprehensif.

"Seperti isu rasuah kenapa mereka lakukan ini...ada kata masalah duit dan berhutang jadi kita buat program dengan kerjasama bank negara," katanya.

Jalaluddin berkata mereka yang didapati bersalah akan diminta menghadiri pelbagai program bersama kaunselor dan psikologi. - Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...