Isnin, 19 Jun 2017

DI AMBANG PERSARAAN PENGARAH JSPT PERTAMA PDRM

Berkuatkuasa 18 Jun 2017, Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dato’ Mahamad Akhir Darus akan menjalani persaraan wajib setelah 41 tahun berkhidmat dalam pasukan.
Sebagai simbolik kepada persaraan beliau, bertempat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, telah diadakan Upacara Perarakan Keluar Pengarah JSPT yang mana telah disempurnakan oleh warga JSPT Bukit Aman sendiri.
Mengimbau kembali sejarah beliau dalam pasukan, Dato’ Mahamad Akhir telah memulakan kariernya pada 5 Disember 1976 sebagai Inspektor Percubaan dan bertugas di beberapa formasi PDRM seperti Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan, Ulu Kinta, Perak, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Perak, Pegawai Turus Trafik Kuala Lumpur, Unit Tugas Am & Trafik Maktab PDRM Cheras dan kemuncak kariernya mula bersinar setelah dilantik sebagai Ketua Trafik Pasukan pada September 2015.

Di bawah kepimpinannya juga, sejarah telah tercipta apabila Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-209 lalu, Cawangan Trafik secara rasminya telah dinaik taraf kepada Jabatan ke-10 dalam PDRM dan dijenamakan semula sebagai JSPT sekaligus menjadikan beliau sebagai Pengarah JSPT pertama dalam PDRM.
Dalam pada itu, turut diadakan sebentar tadi ialah Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSPT di antara Dato’ Mahamad Akhir Darus dengan bekas Ketua Polis Daerah Brickfield, Kuala Lumpur iaitu SAC Sharul Othman Mansor yang dilantik untuk menerajui jabatan bongsu PDRM itu. Turut diadakan adalah Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi PERKEP JSPT serta Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Bukit Aman di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar dan turut dihadiri oleh timbalannya, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah-pengarah, Timbalan-timbalan Pengarah, pegawai-pegawai kanan PDRM serta Pengerusi PERKEP Malaysia Puan Sri Dato’ Imran Ibrahim, Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Sri Shahriza Saad dan wakil-wakil media.

Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...