Rabu, 27 September 2017

VIDEO PEGAWAI POLIS ‘PAYUNG’ PENGUSAHA JUDI DISIASAT

Polis Johor akan menjalankan siasatan berhubung video tular yang mengaitkan PENGLIBATAN SEORANG PEGAWAI POLIS DI NEGERI INI DENGAN PENGUSAHA JUDI.
Ketua polis Johor Datuk Mohd Khalil Khader Mohd berkata pihaknya akan mengambil tindakan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada sekiranya terbukti kesahihan terhadap pegawai yang terlibat seperti didakwa.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang telah mengutarakan video klip itu. Siasatan segera secara terperinci dan telus akan dijalankan ke atas dakwaan tersebut dan ditegaskan pihak polis tidak akan berkompromi di atas kecuaian pegawai serta anggotanya dalam memartabatkan integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini hari ini yang dihadiri naib pengerusi kanan MCPF Tan Sri Lee Lam Thye dan pengerusi MCPF Johor Datuk Freddie Long Hoo Hin.
Video berdurasi kira-kira empat minit itu mendakwa pusat judi di negara ini dipayungi polis manakala terdapat seorang pegawai polis di sebuah daerah di negeri ini turut bersekongkol dengan pengusaha judi.

Ahad, 24 September 2017

PESTA SEKS, 72 INDIVIDU DITAHAN DALAM BANGLO

JOHOR BARU, 23 Sept — Hasrat 72 individu yang mahu mengadakan seks bebas di sini terbantut apabila diserbu polis awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri berkata 46 lelaki dan 26 wanita itu ditahan selepas terpedaya dengan kegiatan yang dipromosikan melalui aplikasi sembang, WeChat.
“Semua suspek dan rampasan termasuk peralatan muzik dibawa pulang ke IPK Johor bagi membantu siasatan.
“Ujian saringan air kencing mendapati 29 daripada mereka positif dadah,” kata SAC Azman Ayob seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau berkata suspek yang berusia antara 17 hingga 34 tahun itu disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, seramai 20 anggota IPK Johor dengan kerjasama IPD Johor Bahru Utara terlibat dalam operasi itu.


Sumber:  KLIK DISINI

Khamis, 21 September 2017

SULTAN JOHOR MAHU SEMUA PERALATAN TENTERA YANG UZUR DITUKAR BAHARU

Mersing, 21 Sept: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mahu segala kelengkapan ketenteraan terutamanya bagi Gerup Gerak Khas (GGK), yang uzur ditukar dengan peralatan baharu yang lebih canggih dan sesuai dengan teknologi dan keadaan masa kini.
Sultan Ibrahim berkata demikian bagi memastikan peralatan dibekalkan sesuai dan terbaik bagi anggota berkenaan menjalankan tugas mereka sama ada di darat, laut ataupun udara.
Sultan Johor turut mengingatkan pihak bertanggungjawab dalam proses perolehan kelengkapan GGK supaya menilai kualiti peralatan yang dibeli dengan betul bagi memastikan kelengkapan mengikut spesifikasi ditetapkan dan telah diuji keupayaannya.
“Sebagai contoh, pembekal jaket kalis peluru harus bersedia untuk ditembak bagi membuktikan jaket yang dibekalkan itu betul-betul selamat dan terbukti berkesan. Nyawa setiap anggota komando berharga dan tidak boleh digadaikan oleh pihak yang tidak amanah atau cuba mengambil kesempatan,” kata Sultan Ibrahim.
Sultan Johor juga berharap setiap anggota komando berusaha meningkatkan kecekapan masing-masing dengan kemahiran ilmu ketenteraan terkini selain berterusan menjalani latihan dan mengekalkan kekuatan fizikal dan mental mereka.
“Peranan yang dimainkan Gerak Khas sebagai pasukan elit barisan hadapan amat penting. Dengan ancaman pengganas yang semakin berkembang dari dalam dan luar negara, khidmat kerja anggota Gerak Khas amat diperlukan untuk menyusup masuk dengan cepat dan pantas bagi menghancurkan ancaman musuh,” kata Sultan Ibrahim. – Bernama.

Isnin, 18 September 2017

KEBOCORAN MAKLUMAT SIASATAN, 13 ANGGOTA PDRM DISIASAT

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan 13 anggotanya berhubung dakwaan kebocoran maklumat dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ifftifaqiyah baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan yang antara lain melibatkan rakaman percakapan, telah dimulakan sejak semalam.

"Mereka disiasat di bawah
Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.
"Bagaimanapun, setakat ini tiada tangkapan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menafikan pihak polis yang membocorkan maklumat berhubung siasatan kes melibatkan pusat tahfiz berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mendakwa, maklumat dan video itu disebarkan oleh agensi kerajaan lain.

Susulan kebakaran yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru tahfiz pada awal pagi Khamis lalu, maklumat berkaitan tujuh suspek yang ditahan polis tersebar secara viral di media sosial sebelum ia diumumkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh pada satu sidang media semalam.


Sumber: KLIK DISINI

Ahad, 17 September 2017

CUBA SELUDUP 1.2 TAN GANJA, DUA LELAKI DITAHAN POLIS

BANGKOK, 17 Sept — Polis di selatan Thai menggagalkan percubaan menyeludup  sejumlah besar ganja ke Malaysia bila ia berjaya merampas 1,286kg (1.28 tan metrik) dadah tersebut dalam dua insiden berasingan di Songkla dan Satun.
Menurut pemangku ketua Polis Kawasan 9 Wilayah Lt Jen Ronnasil Phusara, seorang lelaki ditahan di di  Songkla pada 12 Sept sementara seorang lagi ditahan di Satun dua hari kemudian.
“Polis menemui 589kg dari sebuah rumah sewa di Chana, Songkla, sementara 697kg lagi  dadah  dirampas di Satun. Lelaki itu mengaku bahawa ganja itu untuk dibawa ke Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi. 
Beliau berkata, ganja itu berasal dari negara jiran Laos, diseludup masuk ke Thailand dan dibawa ke wilayah-wialayah di selatan.  
Lelaki yang ditangkap di Satun menurut Ronnasil, mendakwa dia dibayar 10,000 Baht (RM1,250) oleh seorang Thai untuk membawa dadah itu dan meninggalkannya di sebuah lokasi, tetapi rancangan itu digagalkan polis. — Bernama


Sumber:  KLIK DISINI

Sabtu, 16 September 2017

TUJUH REMAJA DITAHAN, BANTU SIASATAN TAHFIZ TERBAKAR

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Polis menahan tujuh remaja lelaki bagi membantu siasatan kes Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, di sini, yang terbakar pada Khamis lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.
“Ya, saya sahkan kesemua penangkapan berkenaan,” katanya ringkas.
Amar Singh berkata maklumat lanjut mengenai penahanan itu akan dibuat pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, dijadualkan pada 11 pagi esok.
Penahanan mereka, yang berumur dalam lingkungan 12 hingga 18 tahun, dipercayai untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya akan menyiasat setiap aspek termasuk unsur khianat bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Maklumat mengenai penahanan tujuh remaja lelaki itu tular di laman sosial hari ini.
Tragedi ngeri kebakaran pada 5.15 pagi Khamis lepas meragut nyawa 21 pelajar dan dua warden, yang juga guru di pusat  tahfiz  berkenaan. — Bernama

Sumber:  KLIK DISINI


Jumaat, 15 September 2017

REMAJA DITAHAN POLIS BUKAN SUSPEK KES KEBAKARAN PUSAT TAHFIZ

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menjelaskan seorang remaja lelaki yang ditahan polis hari ini BUKAN SUSPEK kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

“Jika ditanya ada tangkapan, ya ada. Tetapi ia bukan suspek kebakaran dan hanya membantu siasatan pihak polis,” katanya dipetik Utusan Online,

Sebelum ini tular mengenai berita kononnya seorang pelajar tahfiz itu menyelinap keluar dari asrama beberapa jam sebelum kebakaran telah ditahan oleh polis untuk siasatan lanjut. 

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan seorang kakitangan pusat tahfiz berkenaan.

Ujar kakitangan tersebut, remaja itu bukanlah pelajar pusat berkenaan tetapi dipercayai TERLIBAT KES KECURIAN Ibu Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Menurutnya, ibu pejabat PPIM terletak bersebelahan pusat tahfiz dan sedang menjalani proses pembaik pulih.

“Sebelum ini terdapat kes kecurian mesin air layan diri di hadapan pejabat itu dan remaja tersebut adalah penduduk kawasan sekitar kampung ini.

“Demi Allah lelaki itu bukan pelajar tahfiz sebab saya kenal semua pelajar sekolah ini,” katanya.


Isnin, 11 September 2017

LANS KOPERAL DIREMAN CABUL REMAJA

Kuching, 11 Sept: Anggota polis berpangkat Lans Koperal direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun di Jalan Batu Kawa di sini.
Majistret Sataia Kombi membenarkan permohonan tersebut setelah suspek yang berusia 33 tahun dan berasal dari Johor itu hadir ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini.
Menurut laporan Astro Awani, suspek sebelum itu ditahan sekitar jam 5.30 petang semalam oleh sepasukan anggota siasatan jenayah IPD Padawan yang diketuai Asisten Superintendan Sofian Abu Bakar di sebuah rumah di Kampung Pinang Jawa, di sini.
Mangsa membuat laporan polis sekitar jam 12.45 pagi semalam di Balai Polis Batu Kawa yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual oleh suspek, yang bertugas di Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontijen.
Kejadian berlaku sekitar jam 1.10 petang pada 4 September apabila suspek yang juga kenalan keluarga mangsa untuk lebih lapan tahun berkunjung ke rumah keluarganya di Jalan Batu Kawa dan menawar diri untuk menghantar mangsa ke kedai kakaknya.
Suspek telah membuat lencongan ketika dalam perjalanan dan membawa mangsa ke suatu tempat terpencil berhampiran Kem Pasukan Gerakan Am Batu Kawa dan melakukan serangan seksual fizikal terhadapnya. 
Sumber: KLIK DISINI

Rabu, 6 September 2017

Khalid dilantik Pengerusi Prasarana, Duta Khas

PUTRAJAYA, 14 Zulhijjah 1438H, Selasa – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan perlantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd yang baharu.

Dalam satu kenyataan, Najib turut mengumumkan pelantikan Khalid sebagai DUTA KHAS bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama negara dengan masyarakat antarabangsa dalam usaha memerangi keganasan, fahaman pelampau dan pemerdagangan manusia.

“Ini memandangkan pengalaman luas serta hubungan baik Tan Sri Abu Bakar dengan agensi antarabangsa sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara dalam menangani masalah tersebut,” katanya.

Khalid bersara wajib pada 4 September (semalam). Khalid yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, menyertai pasukan keselamatan itu sebagai inspektor pada 5 Disember 1976.

Najib berkata pelantikan Khalid sebagai Pengerusi Prasarana adalah bagi menggantikan Tan Sri Ismail Adam yang tamat tempoh pelantikan pada 31 Ogos lepas (2017).

“Tan Sri Khalid Abu Bakar akan meneruskan misi dan visi Prasarana untuk membina dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang bertaraf dunia serta peningkatan penggunaan pengangkutan awam,” katanya.

Najib bagi pihak kerajaan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ismail atas sumbangan beliau menjayakan misi dan visi Prasarana sepanjang tempoh perkhidmatannya.- Bernama


Selasa, 5 September 2017

KHALID ANGGAP KHIDMAT SEBAGAI POLIS SELESAI

KUALA LUMPUR - "Sesungguhnya saya telah berkhidmat dengan sepenuh hati dan terbaik serta tiada apa-apa lagi yang boleh dianggap sebagai 'UNFINISHED BUSINESS'  yang perlu saya langsaikan," kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata tugasannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai selepas berkhidmat lebih 40 tahun dalam pasukan beruniform itu.

"Saya amat yakin PDRM di bawah barisan kepimpinan yang baharu (Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun) akan terus kekal sebagai satu pasukan yang dinamik dan progresif serta mampu menjadi pelindung kepada masyarakat dan benteng kedaulatan negara.

"Saya ucapkan tahniah kepada beliau atas lantikan jawatan Ketua Polis Negara mulai hari ini dan berharap dapat meneruskan perjuangan saya dan pemimpin-pemimpin terdahulu bagi memartabatkan PDRM," katanya kepada pemberita, di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...