Selasa, 5 September 2017

KHALID ANGGAP KHIDMAT SEBAGAI POLIS SELESAI

KUALA LUMPUR - "Sesungguhnya saya telah berkhidmat dengan sepenuh hati dan terbaik serta tiada apa-apa lagi yang boleh dianggap sebagai 'UNFINISHED BUSINESS'  yang perlu saya langsaikan," kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata tugasannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai selepas berkhidmat lebih 40 tahun dalam pasukan beruniform itu.

"Saya amat yakin PDRM di bawah barisan kepimpinan yang baharu (Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun) akan terus kekal sebagai satu pasukan yang dinamik dan progresif serta mampu menjadi pelindung kepada masyarakat dan benteng kedaulatan negara.

"Saya ucapkan tahniah kepada beliau atas lantikan jawatan Ketua Polis Negara mulai hari ini dan berharap dapat meneruskan perjuangan saya dan pemimpin-pemimpin terdahulu bagi memartabatkan PDRM," katanya kepada pemberita, di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini.


Khalid juga mengucapkan syukur kepada Allah kerana telah ditakdirkan untuk menjadi seorang pegawai polis dan ia merupakan satu kerjaya yang amat mulia.

"Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang sentiasa memberikan liputan terbaik dan berharap kerjasama berkenaan dapat diteruskan bersama Ketua Polis Negara yang baharu," katanya.

Terdahulu, beliau diraikan dalam Majlis Paluan Berundur yang dihadiri Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dan timbalannya Tan Sri Noor Rashid Ibrahim di Pulapol.

Khalid, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan,  bersara wajib hari ini selepas memulakan khidmatnya dengan pasukan keselamatan itu sebagai inspektor pada 5 Disember 1976.

Antara jawatan penting yang pernah disandangnya adalah Ketua Polis Negeri Sembilan (2005), Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (2006) dan Ketua Polis Selangor (2007), Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam  (2010)  dan Timbalan Ketua Polis Negara (2011).

Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 17 Mei 2013 bagi menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.

Jawatan Khalid kini digantikan oleh bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, yang berkuatkuasa hari ini. - Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...