Rabu, 30 Ogos 2017

PEMANDU GANI, BEKAS PEGUAM NEGARA CEDERA DITEMBAK 2 LELAKI


Ampang, 30 Ogos – Pemandu bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail cedera ditembak 2 lelaki di halaman rumah sendiri, semalam.
Kejadian itu berlaku di halaman sebuah rumah teres 2 tingkat di Taman Putra Ampang pada jam 8.30 pagi Selasa.
Mangsa berusia 40 tahun yang bernama Mustafa, baru diambil bekerja sebagai pemandu persendirian Gani sejak Januari lalu.
Difahamkan, mangsa tidak bercadang menjemput majikannya hari ini dan jadualnya pagi itu hanya membabitkan aktiviti persendirian.
Sumber polis yang dipetik akhbar itu berkata, ketika kejadian, mangsa baru membuka pintu pagar rumahnya untuk keluar.

Bagaimanapun, 2 penembak yang menaiki sebuah motosikal itu tiba-tiba memasuki halaman rumah mangsa dan berpura-pura bertanya arah, sebelum mengeluarkan pistol dan menembak pehanya kemudiannya melarikan diri.

Polis menyiasat motif serta identiti 2 penembak itu, dan sama ada mereka menyasarkan pemandu itu sendiri atau Gani.
Sumber di tempat kejadian tidak menolak kemungkinan motif serangan itu bertujuan memberi amaran kepada pihak tertentu kerana jika mereka hendak membunuh mangsa, lebih daripada 1 das tembakan akan dilepaskan dari jarak dekat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Hamzah Alias mengesahkan kejadian itu dan kes berkenaan disiasat di bawah Akta Senjata Api 1971 bagi mengenal pasti motif penembak.

Gani dilantik sebagai peguam negara pada 2003 dan antara kes berprofil tinggi yang pernah dikendalikan beliau termasuk kes rasuah bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Pairin Kitingan; bekas menteri besar Selangor, Dr Khir Toyo dan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. – China Press
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...