Sabtu, 14 Oktober 2017

Tiga anggota TLDM didakwa bunuh, cedera dua rakan sekerja

LUMUT: Tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini kerana membunuh dan mencederakan dua anggota pasukan tentera itu ketika dalam tahanan pada 28 dan 29 September lalu.

Tertuduh pertama, Laskar Kanan Mohd Izhrifikri Roslee, 29, didakwa dengan dua pertuduhan membunuh, manakala Laskar Kanan Hamzah Zakaria, 35 dan Laskar Kanan Mohd Farid Musa, 32, didakwa dengan tiga pertuduhan mencederakan dua mangsa yang sama.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Izhrifikri dituduh menyebabkan kematian Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatuiman Mohd Sukri, 26.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di padang latihan Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, antara jam 10.30 pagi hingga 3.20 petang pada 29 September lalu.  


Tertuduh didakwa mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan diambil daripada Mohd Izhrifikri yang hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.

Majistret Nur Shaqira menetapkan 12 Disember ini untuk kes itu disebut semula dan tiada jaminan ditawarkan.

Sementara itu, Hamzah didakwa mencederakan Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailatuiman di laluan hadapan bilik tahanan unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan pada jam 10.30 pagi pada 29 September lalu.

Mohd Farid pula didakwa mencederakan Nik Muhammad Baihaqy di pejabat pengawal bilik tahanan yang sama pada jam 12.30 tengah malam pada 28 September lalu.

Kedua-dua mereka yang dituduh mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan.

Nur Shaqira menetapkan 30 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan menetapkan jaminan RM8,000 terhadap Hamzah dan RM4,000 terhadap Mohd Farid.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Yusaini Amer Abdul Karim manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...