Isnin, 15 April 2019

TIGA AHLI PKR BERLAGAK POLIS DIREMAND


RASAH 15 April - Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam insiden memeriksa kereta peronda (MPV) polis semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Sabtu lalu, ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek berusia antara 36 hingga 52 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban di sini, selepas mereka dibawa oleh pihak polis ke mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi.

Ketiga-tiga lelaki dipercayai PENYOKONG PAKATAN HARAPAN (PH) itu direman sehingga 17 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Mereka terlebih dahulu dilihat tiba di pekarangan mahkamah dengan menaiki trak polis dan berpakaian lokap serta tangan masing-masing bergari.

Semalam, pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop memberitahu, suspek pertama yang bekerja sebagai jurujual kenderaan berusia 52 tahun diberkas di daerah ini tengah hari kelmarin.

Kata beliau, polis seterusnya menahan seorang lagi suspek yang bekerja sebagai pemandu lori berusia 36 tahun dan seorang peniaga ayam berusia 37 tahun di Rantau, manakala TIGA LAGI SUSPEK MASIH DIBURU POLIS.

Pada hari pengundian PRK DUN Rantau 13 April lalu, lima lelaki dipercayai penyokong PH bertindak memeriksa sebuah MPV polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, Rembau.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6 petang semasa dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi PRK DUN Rantau.

Lima lelaki terbabit telah meminta anggota polis berkenaan membuka but MPV polis tersebut kerana mengesyaki kenderaan itu membawa kertas lebihan undi, namun mereka akhirnya tidak menemukan kertas undi yang didakwa. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: KLIK DISINI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...