Sabtu, 28 Disember 2019

FACEBOOK DAN INSTAGRAM 'RUJUKAN UTAMA' PARA PENIPU, SINDIKET ALONG DAN SCAMMER


Laman sosial FACEBOOK DAN INSTAGRAM dilihat menjadi 'RUJUKAN UTAMA' PARA PENIPU, SINDIKET ALONG dan  SCAMMER bagi mendapatkan maklumat mangsa sekali gus memudahkan operasi kegiatan haram yang dijalankan. 

Pakar kriminologi, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, rata-rata pemilik akaun Facebook khususnya akan mendedahkan maklumat seperti profil peribadi, latar belakang diri meliputi apa yang mereka suka dan tidak suka, pendidikan, minat serta kecenderungan termasuk kerjaya mereka di laman sosial tersebut.

Beliau berkata, bukan setakat itu saja, turut diletakkan pada Facebook mereka maklumat seperti NOMBOR TELEFON, E-MEL SERTA ALAMAT SYARIKAT selain akaun laman sosial itu kebanyakannya adalah 'OPEN FOR PUBLIC' iaitu sesiapa sahaja boleh melihat maklumat tersebut.

Katanya, kesemua maklumat tersebut ialah 'big data' merangkumi keseluruhan maklumat tentang diri seseorang dan ia MEMUDAHKAN PARA 'SCAMMER' untuk mencari mangsa mereka.

"Daripada maklumat tersebut saja, para scammer boleh mengetahui sama ada mangsa ini kaya atau tidak, jenis yang memerlukan perhatian, kasih sayang atau jenis yang mudah dimanipulasi.

"Hanya tinggal untuk pilih siapa mangsa yang disukai untuk diperdaya melalui teknik-teknik atau kepakaran yang dimiliki mereka," katanya kepada Sinar Harian di sini kelmarin.

Menurutnya, dalam kata lain, keterbukaan seseorang individu dalam mendedahkan maklumat diri mereka di laman sosial khususnya Facebook, banyak membuka ruang dan peluang kepada sindiket scammer yang didalangi warga asing dan bergerak bersama orang tempatan yang direkrut.

Selain itu katanya, beliau percaya sesetengah maklumat seperti nombor telefon mangsa ini DIJUAL OLEH SYARIKAT TELEKOMUNIKASI KEPADA SCAMMER TERTENTU.


Mengulas mengenai modus operandi yang digunakan, Akhbar berkata, ia tidak banyak berubah kerana masih terdapat modus operandi lama yang masih relevan dan digunakan seperti penipuan love scam.

"Ada juga modus operandi baharu yang digunakan seperti penipuan kononnya mangsa terlibat dalam kes disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pengubahan wang haram.

"Bagaimanapun, trend modus operandi ini akan berubah mengikut keadaan serta isu semasa," katanya.

Beliau berkata, paling penting semua pihak khususnya orang awam perlu berhati-hati agar tidak terpedaya dengan helah scammer ini.

"Kita harus ingat, apabila bank umpamanya meningkatkan ciri-ciri keselamatan atau maklumat untuk panduan pelanggan, scammer ini pula akan terus mencari jalan untuk 'menceroboh' semua ciri-ciri keselamatan yang ada...Tambah lagi mereka memang ada kepakaran dan tahu tentang teknologi maklumat," katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...