KUALA SELANGOR - Bukan satu tetapi 23 peti elektrik voltan rendah (feeder pillar) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di daerah ini dipecah masuk menyebabkan syarikat utiliti elektrik terbesar negara menanggung kerugian lebih RM50,000 sekali gus menjejaskan lebih kurang 10,000 pengguna di sini.
Hanya dalam tempoh dua minggu, peti elektrik voltan rendah di sekitar Tanjong Karang, Kuala Selangor, Jeram dan Ijok menjadi sasaran sindiket kecurian yang dipercayai dirancang secara berkumpulan memandangkan dalam satu kes, lebih dua sub stesen itu dipecah masuk dalam masa sama.
Sinar Harian difahamkan, komponen fius menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab untuk dijual di kedai lusuh untuk mengaut keuntungan mudah tanpa menyedari tindakan mereka memberi kesan kepada pengguna.