KANGAR: Polis memberi amaran kepada beberapa kumpulan yang dipercayai bercadang menjelajah pelusuk negara ini untuk mencalit dakwat kekal kepada pengundi bagi mewujudkan keadaan tegang semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata walaupun kes seumpama itu belum dilaporkan berlaku namun perbuatan itu adalah sesuatu yang serius dan boleh mendatangkan kekecohan pada hari mengundi. "Kita ada terima laporan daripada pihak tertentu mengenai perkara itu dan telah mengenal pasti kumpulan itu, saya minta kumpulan itu supaya jangan melakukan perkara yang boleh mencetuskan huru hara," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat kawalan PRU13 Ibu Pejabat Kontinjen Perlis di sini, Rabu.