ALOR SETAR: Dua pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dihukum gantung sampai mati setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar di sini, hari ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Ismail Mansor, 43, dan Nazni Seman, 48, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Kedua-dua tertuduh yang berkhidmat dengan Unit Penguatkuasa Kastam Kuala Perlis, Perlis, didakwa secara bersama mengedar dadah jenis kanabis seberat 6,705 gram di kawasan tapak parkir lori kilang simen, Bukit Keteri, Padang Besar, Perlis pada jam 9.30 malam, 27 April 2011.