KUALA LUMPUR 4 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan usaha memerangi gejala rasuah dalam negara terus kekal menjadi keutamaan kerajaan dan meletakkannya sebagai satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Perdana Menteri berkata, pelbagai pendekatan yang diambil dalam membanteras gejala rasuah termasuk aspek rangka kerja sehingga penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cukup menggambarkan keseriusan gejala tersebut pada pandangan kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, usaha yang dilakukan tidak akan berjaya tanpa pembabitan dan kerjasama menyeluruh kerana pada akhirnya langkah diambil itu perlu menjadi etika sebenar dan tanggungjawab masyarakat.