KANGAR 9 Mac - Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berharap empat pelajar nakal yang dikaitkan dengan kes membelasah seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Simpang Empat sehingga patah tangan kirinya tidak disingkirkan daripada sekolah.
Katanya, mereka sewajarnya diberi peluang untuk terus belajar dengan dipindahkan ke sekolah lain dan diberi pemulihan supaya mereka menyedari kesalahan itu.
"Mereka harus diberi peluang membaiki kesilapan demi masa depan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Mohamad Shahfaly Anoar, 15, yang patah tangan kirinya akibat dibelasah sekumpulan pelajar di Kampung Simpang Empat Syed Kassim dekat sini hari ini.
Dalam kejadian 4 Mac lalu, mangsa dikatakan dipukul oleh sekumpulan pelajar tingkatan tiga dan dua sekolah yang sama di kawasan sekolah dan kes itu yang telah dilaporkan kepada polis turut mendapat reaksi nasional.
"Jika pelajar-pelajar itu tidak diberi peluang untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukan, saya khuatir pelbagai perkara tidak baik akan terjadi kepada mereka,” kata Md Isa.