KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket perjudian perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014 yang membuat pertaruhan RM7.5 juta sehari, berikutan penahanan empat individu di ibu negara, Rabu.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman DCP Datuk Mazlan Mansor berkata hasil maklumat dan risikan selama empat minggu menerusi Op Soga V, pasukannya menahan kesemua suspek berumur antara 20 dan 32 tahun di sebuah premis di Kompleks Metro Pudu di sini pada 4.30 petang.
Beliau berkata polis merampas tiga komputer riba, dua iPad, dua kemudahan jalur lebar dan 30 buku log yang tercatat angka pertaruhan bola sepak.