KOTA KINABALU - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberi jaminan tahap keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah terkawal dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa meningkatkan pemantauan.
Katanya pada masa yang sama beliau turut mengarahkan Polis Sabah mempertingkatkan kerjasama dengan pasukan keselamatan dari negara jiran bagi mencegah jenayah termasuk penculikan.
"Kita mesti perkukuhkan hubungan kita dan beri ingatan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu bahawa kita sentiasa berjaga-jaga demi keselamatan rakyat," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Ismail yang sebelum itu merasmikan Persidangan Ketua-ketua Agensi Polis Bantuan bersama Pegawai Kanan PDRM ke-24, diminta mengulas mengenai kes penculikan membabitkan dua rakyat tempatan di pantai timur Sabah pada Rabu lepas.