KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan memfailkan saman terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengaitkan beliau dalam kes video seks yang ditayangkan kepada wartawan di Carcosa Seri Negara, Isnin lepas.
Berikutan itu, Hishammuddin pada Isnin telah melantik peguam Tan Sri Cecil Abraham bagi mewakili beliau dalam memfailkan saman terhadap ketua pembangkang terbabit.
Menurut sumber Kementerian Dalam Negeri, dakwaan Anwar bahawa Hishammuddin adalah dalang di sebalik penayangan video yang membabitkan seorang pemimpin utama pembangkang tersebut telah menjatuhkan maruah dan nama baiknya sebagai menteri.