Ahad, 27 Februari 2011

Polis Kelantan tahan 3 suspek kes bunuh

KOTA BAHARU - Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kes bunuh dan samun, serta merampas sepucuk pistol berserta peluru daripada mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, Polis Cawangan Jenayah Berat menahan ketiga-tiga suspek berumur antara 23 hingga 30 tahun itu Jumaat lepas dalam satu serbuan di sebuah chalet di Perdana Resort, dekat Pantai Cahaya Bulan pada pukul 4.25 pagi.
Hasil pemeriksaan di chalet itu, polis menemui sepucuk pistol jenis .357 Magnum bersama enam butir peluru, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, salah seorang daripada suspek itu merupakan orang yang sangat dikehendaki polis kerana banyak terbabit dalam kes jenayah berat di negeri ini sejak tiga tahun lepas. - Bernama

1,949 mangsa jenayah pemerdagangan orang diselamatkan

KANGAR 26 Feb. - Pihak berkuasa menyelamatkan 1,949 orang mangsa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 di seluruh negara dari 28 Februari 2008 hingga Februari tahun ini.

Setiausaha Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran, Ismail Ahmad memberitahu, kesemua mangsa daripada 20 buah negara itu diselamatkan dan diberi perintah perlindungan sementara (IPO).

"Seramai 753 orang dikenal pasti sebagai mangsa sebenar dan diberikan perintah perlindungan (PO) manakala 450 orang berjaya ditangkap dalam jenayah ini dengan 342 pertuduhan telah dijalankan," katanya.

13 anggota PGA ditahan berjudi

KUCHING 26 Feb. - Tiga belas anggota Polis Gerakan Am (PGA) ditahan ketika berjudi di sebuah kuarters anggota di Ibu Pejabat PGA Briged Sarawak, Batu Kawa di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 5.15 petang itu, 13 anggota PGA pelbagai pangkat terbabit leka bermain "holo" ketika diserbu sepasukan polis dari Unit Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak.

Difahamkan wang tunai berjumlah RM2,000 turut dirampas dalam serbuan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Kesemua anggota yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis, katanya. - BERNAMA

Pengurus hidup mewah curi duit pelanggan RM1.5j ditahan

SUNGAI PETANI 26 Feb. - Selama ini seorang pengurus sebuah bank di sini melaram dengan gaya hidup mewah sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan rakan sejawatannya.

Setiap kali ditanya, pengurus muda salah sebuah bank asing di sini yang berusia 28 tahun memberi alasan bahawa dia memperoleh harta-hartanya daripada pelaburan.

Bagaimanapun, rahsia pengurus akaun dan khidmat pelanggan itu selama lebih setahun terbongkar apabila dia ditahan bagi membantu siasatan mengenai kehilangan sejumlah besar wang milik pelanggan yang dianggarkan lebih RM1.5 juta.

Lelaki itu ditahan di rumahnya sekitar bandar ini malam Rabu lalu.

Dia ditahan selepas pegawai atasan dan para pelanggan bank tersebut membuat aduan mengenai kegiatannya.

Mayat lelaki dalam beg pakaian

IPOH: Polis hari ini menemui mayat lelaki dalam sebuah beg pakaian di dalam parit berhampiran sebuah kilang di Batu 8, dekat Chemur dipercayai dibunuh. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata, mayat berkenaan ditemui pada jam 3.35 petang oleh orang awam yang kemudian menghubungi polis.


Polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain kemudian dimuatkan dalam sebuah beg pakaian sebelum dibuang di situ," katanya kepada pemberita.


Azisman berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat itu dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun. 

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian atau mengetahui mengenai mangsa supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di nombor telefon 05-2451500. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...