Ahad, 27 Februari 2011

1,949 mangsa jenayah pemerdagangan orang diselamatkan

KANGAR 26 Feb. - Pihak berkuasa menyelamatkan 1,949 orang mangsa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 di seluruh negara dari 28 Februari 2008 hingga Februari tahun ini.

Setiausaha Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran, Ismail Ahmad memberitahu, kesemua mangsa daripada 20 buah negara itu diselamatkan dan diberi perintah perlindungan sementara (IPO).

"Seramai 753 orang dikenal pasti sebagai mangsa sebenar dan diberikan perintah perlindungan (PO) manakala 450 orang berjaya ditangkap dalam jenayah ini dengan 342 pertuduhan telah dijalankan," katanya.


Beliau berucap pada Kempen Kesedaran dan Rolled-Out Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2001 di Sekolah Menengah Vokasional Kangar di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Kewangan negeri, Ramky Dai dan Pengerusi Kelab Usahawan Koridor Utara, Dr. Amar Hassan.

Menurut Ismail, jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran merupakan satu jenayah kompleks kerana melibatkan sindiket yang beroperasi secara teratur dan terancang.

"Ia melibatkan merekrut, pengangkutan, pemindahan, perlindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi.

"Eksploitasi termasuk segala bentuk melibatkan seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau menyerupainya, pengabdian, apa- apa aktiviti menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia," tambah beliau.

Katanya, penyeludupan migran pula adalah membawa masuk seseorang secara haram atau tanpa dokumen ke dalam sesebuah negara secara terancang.

Beliau menjelaskan, jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran merupakan satu jenayah berat yang melibatkan nilai kemanusiaan seseorang individu.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan amat mengharapkan sokongan rakyat untuk membantu menangani jenayah tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...