BUKIT ANTARABANGSA – Seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan ngeri berlumuran darah dipercayai membunuh diri di rumahnya di Jalan Wangsa 11, Taman Wangsa Ukay, di sini, semalam dengan kesan lebih 10 tikaman di bahagian dada dan perut.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu, kematian Lee Soong Chin, 56, yang bekerja di sektor swasta dipercayai berpunca daripada kemurungan dialaminya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sejam sebelum unit Forensik bergegas ke lokasi kejadian.
Amiruddin berkata, isteri mangsa seorang suri rumah warga British berusia 51 tahun itu tidur bersebelahan mangsa ketika kejadian.
Menurutnya, ketika isterinya sedang nyenyak tiba-tiba dia terjaga kerana terdengar sesuatu.
“Dalam keadaan gelap itu, isteri mangsa terdengar seolah-olah bunyi tumbukan dan menyangka suaminya mengigau.
“Dia kemudian cuba memegang suaminya dan terkejut apabila terpegang pisau lalu terus merampas sebelum membuka lampu dan menjerit ketakutan apabila melihat suaminya dalam keadaan nyawa-nyawa ikan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan dijalankan, polis menemui pisau berhampiran mangsa dan terdapat kesan lebih 10 tikaman di bahagian dada dan perut.
“Siasatan sedang dijalankan dan kami sedang dalam proses mengambil keterangan ahli keluarga mangsa untuk mengetahui punca kejadian.
“Daripada maklumat awal yang diterima, mangsa dikatakan mengalami kemurungan,” katanya.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.
Katanya, mangsa meninggalkan isteri serta tiga anak termasuk seorang lelaki.
Difahamkan, mangsa baru pulang dari Singapura setelah kontrak kerjanya tamat sejak dua bulan lalu.
Sementara itu, menurut seorang jiran yang enggan dikenali ketika ditemui di lokasi kejadian mendakwa mengenali mangsa serta keluarganya.
Keluarga itu mendiami rumah teres dua tingkat itu sejak 15 tahun lalu rapat antara satu sama lain dan mesra dengan jiran sekeliling.