Ahad, 27 Februari 2011

Mayat wanita berlumuran darah

GEORGETOWN: Mayat seorang wanita berlumuran darah ditemui di tingkat dua kawasan letak kereta sebuah pangsapuri di Lorong Madrasah, Jelutong di sini, semalam. 


Jurucakap polis berkata, orang ramai menemui mayat mangsa berusia lingkungan 20an yang berpakaian lengkap dengan beberapa kesan kecederaan teruk terutama di bahagian kepala kira-kira jam 7.30 malam.


Katanya, berdasarkan maklumat beberapa saksi, mereka sebelum itu terdengar bunyi kecoh seperti orang bergaduh di tingkat 11 perumahan itu dan tiba-tiba terdengar dentuman kuat.


"Orang ramai bergegas ke kawasan tempat letak kereta berkenaan dan menemui mayat dalam keadaan terlentang serta mengalami pendarahan yang teruk di kepala," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 


Beliau berkata, polis tidak menemui sebarang dokumen perjalanan diri bersama mayat berkenaan.   Menurut penduduk di situ, wanita terbabit bukan penduduk kawasan itu.   "Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya. 


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng, meminta mereka yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...