Rabu, 2 Mac 2011

Cubaan guna lorong tikus gagal

PELABUHAN KLANG - Tindakan sekumpulan remaja merempit cuba melarikan diri melalui ‘lorong tikus’ gagal apabila mereka berjaya ditahan Pasukan Penguat kuasa Balai Trafik Klang Selatan yang mengejar mereka sejauh beberapa kilometer, awal pagi semalam. 

Pegawai Penguat kuasa Operasi Balai Trafik Klang Selatan, Cif Inspektor Zulkifli Hashim berkata, pihaknya bersama lapan anggota mengejar kumpulan terbabit hingga memasuki jalan mati. 

“Bagaimanapun ketangkasan pasukan kita, akhirnya sembilan remaja yang masing-masing berusia belasan tahun itu berjaya ditahan,” katanya. 

Berat disangka banyak duit

CHUKAI - Sebuah peti besi seberat lebih 100 kilogram milik sebuah syarikat insurans di Jalan Da’ Omar, dekat sini, dilarikan penyamun selepas pejabat syarikat berkenaan dipecah masuk dalam kejadian awal pagi kelmarin. 

Mungkin kerana menyangka peti besi itu mengandungi banyak wang, penyamun terbabit hanya bertindak melarikan peti besi sahaja tanpa mengambil barang berharga lain termasuk komputer, projektor dan kamera video yang turut berada dalam pejabat berkenaan. 

Bagaimanapun, peti besi itu hanya mengandungi tunai kira-kira RM300, 15 keping geran kenderaan dan dokumen lain. 

17.3 juta saman tidak dijelas akan disenaraihitamkan

KUALA LUMPUR 1 Mac – Sebanyak 17.3 juta saman yang gagal dijelaskan oleh pesalah lalu lintas akan disenaraihitamkan bermula hari ini.

Langkah menyenaraihitamkan kesemua jumlah saman itu dibuat berikutan kegagalan pesalah trafik menyelesaikan saman mereka selepas tempoh yang ditetapkan sejak Ogos tahun lalu berakhir semalam.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof bagaimanapun berkata, daripada 49.4 juta jumlah saman yang dikeluarkan itu, sebanyak 31.9 juta saman telah dibayar oleh para pengguna.

“Bagi pengguna lalu lintas yang masih belum menjelaskan saman tertunggak bagi semua kesalahan, mereka akan disenarai hitam bermula hari ini.

“Pengguna yang enggan membayar saman tertunggak selepas tarikh semalam perlu bersedia menerima implikasi jika disenarai hitam,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Rosmah suruh PDRM siasat, dari mana bocornya rahsia rahsia beliau?

Berita | Bekas wartawan Harakahdaily dihubungi Polis lewat petang tadi kerana dipercayai mengaitkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika melaporkan suatu skandal membabitkan Perkorporatan Lembaga Kemajuan Perindustrian (MIDA) pada Julai dan Ogos dua tahun lalu. 

Dzulfikar Mashoor atau nama sebenarnya Zainulfaqar Yaacob dipanggil membantu siasatan ekoran dari dua laporannya – Pengkorporatan MIDA dalam proses, tetapi…bertarikh 9 Julai 2009 dan MIDA diselubungi rasuah selepas dikorporat? bertarikh 17 Ogos tahun yang sama di sesawang media milikan PAS. 

Sehingga kini, kedua-dua laporan tersebut masih boleh diakses di Harakahdaily. 

Selasa, 1 Mac 2011

Inkues Beng Hock: Nota “selamat tinggal” diserah kepada Squires

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Nota ”selamat tinggal” tulisan tangan Teoh Beng Hock telah diserahkan kepada pegawai penyiasat yang dilantik Khamis lepas oleh Suruhanjaya Siasatan berkaitan punca kematian setiausaha politik anggota Exco Selangor itu.

Pengerusi suruhanjaya itu Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata Michael Leslie Squires akan memaklumkan hasil siasatannya tidak lama lagi.

Pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam, pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Wong Kong Yong mengesahkan sebahagian tulisan Bahasa Malaysia pada nota yang ditemui dalam beg sandang Beng Hock dan tulisan di buku nota lelaki itu dimiliki orang yang sama.

Kong Yong berkata, selepas diperiksa, beliau mendapati kedua-dua contoh tulisan Cina menunjukkan sebahagian persamaan ciri penulisan dan besar kemungkinan ditulis oleh orang yang sama.

Nota itu, yang dikemukakan selepas setahun prosiding inkues berjalan, ditemui pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal dan diterjemah oleh jurubahasa Mandarin.

Pada prosiding hari ini, Hakim Foong turut memaklumkan Pakar Patologi Thailand Dr. Pornthip Rojanasunand dan Pakar Forensik British Profesor Dr. Peter Vanezis akan memberi keterangan dalam bulan Mac. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...