Jumaat, 20 Julai 2012

JURUJUAL DITEMBAK MATI SEMASA MENUNGGU ISTERI


Gambar hiasan

SEGAMAT 20 Julai - Seorang jurujual mati ditembak sebanyak tiga das ketika sedang menunggu isterinya selesai bekerja di sebuah pusat hiburan keluarga di Bandar Utama, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 2.50 pagi itu, mangsa, Asnan Yunus, 28, dari Felda Palong Timur mati di tempat kejadian setelah tembakan itu mengenai rusuk, tengkuk dan bawah telinga sebelah kiri.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Md. Anuar Ismail berkata, semasa kejadian mangsa sedang menunggu di dalam keretanya tidak jauh dari sebuah kedai serbaneka. - UTUSAN

Ahli SRS cedera ditikam


Ahli SRS cedera ditikam
KOTA BHARU-Seorang ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) mengalami kecederaan di bahagian perut selain di pergelangan tangan selepas ditikam dan digigit seorang lelaki ketika cuba mendapatkan motosikal milik rakannya yang dipercayai dicuri suspek di Kampung Gual Jedok, Tanah Merah, di sini, petang kelmarin.


Mangsa, Mohd Shazwan Mohd Nor, 23, berusaha mendapatkan dua suspek yang menaiki motosikal secara berasingan dengan memecut kereta yang dipandunya bersama rakannya, Hassan
Safin, 22, sejauh 10 kilometer sehingga sampai berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Jedok, bagi menangkap mereka.

Mohd Shazwan bertindak nekad melawan mangsa dan ketika dia cuba menumbuk salah seorang suspek, lelaki terbabit bertindak menggigit dan menikam mangsa sehingga dia mengalami kecederaan di perut.

Ibu mangsa, Norizan Che Abdullah, 45, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan dikejutkan dengan kejadian anaknya, ditikam dari salah seorang kenalannya.

“Ketika kejadian kira-kira jam 3.45 petang, anak saya keluar bersama rakannya membeli kad prabayar berdekatan dengan kedai dalam kampung ini.

“Tidak saya sangka kejadian itu menimpanya dan selepas menerima berita itu saya terus ke hospital Tanah Merah bagi melihat keadaannya sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)," katanya ketika ditemui di wad HRPZ II, semalam.

Norizan berkata, Mohd Shazwan sanggup menggadaikan nyawanya walaupun dia tidak mempunyai senjata bagi menangkap penjenayah itu.


Pegawai polis mengamuk di Seremban 2 sudah ditahan


Polis mengamuk: Ketua Polis Daerah sahkan pegawai terbabit sudah ditahan
Rakaman CCTV menunjukkan pegawai polis menyerang dua pekerja hotel di Seremban 2, kelmarin

SEREMBAN – Polis sedang menyiasat tindakan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang menyerang dua pekerja hotel serta merosakkan beberapa kenderaan di Seremban 2, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 2.50 pagi itu, lelaki berusia 32 tahun berkenaan dikatakan pada mulanya bertikam lidah dengan dua pekerja di kaunter lobi hotel berkenaan akibat tidak berpuas hati atas sebab-sebab tertentu.

Akibat serangan itu, kedua-dua pekerja terbabit mengalami kecederaan. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

“Kita masih menyiasat dakwaan mengenai pegawai polis itu yang dikatakan turut merosakkan kenderaan di luar hotel. Punca dia bertindak demikian juga masih disiasat.

Koperal Polis Tidak Mengaku Salah Melakukan Rompakan


KUALA TERENGGANU, 19 Julai (Bernama) -- Seorang polis berpangkat koperal Khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan melakukan rompakan bersendirian dan berkumpulan dalam kejadian berasingan pada hari sama, dua minggu lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Wan Zazaljala Wan Hussin, 31, didakwa merompak sebuah beg tangan warna ungu bersama identiti pengenalan dan kad bank, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM300 milik Goh Lee Chin, 38, di Mesin ATM Public Bank, Dungun pada 2.20 petang, 5 Julai lepas sebelum ditahan polis dua hari kemudiannya.

Dia yang berasal dari Jertih, Besut didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Sept ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Khamis, 19 Julai 2012

Suruhanjaya Integriti terima 197 aduan salah laku


NONE
Ketua Pegawai Eksekutifnya,
Nor Afizah Hanum Mokhtar
 

SKUDAI – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Suruhanjaya Integriti) menerima sebanyak 197 aduan salah laku anggota penguatkuasa membabitkan 19 agensi di bawah seliaan suruhanjaya itu sejak ia ditubuhkan pada April tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Heliliah Mohd Yusof berkata, sebagai Badan Berkanun Persekutuan yang bebas, ia bertanggungjawab memantau dan menjalankan siasatan terhadap aduan orang ramai seperti mana yang disenaraikan dalam Akta 700.

Katanya, misi Suruhanjaya Integriti adalah memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan yang berintegriti di kalangan agensi penguatkuasaan Malaysia melalui pengendalian aduan dan siasatan secara telus, berani dan profesional.

“Ruang lingkup salah laku yang boleh diadukan menurut Seksyen 24(1) Akta 700 salah laku bermaksud apa-apa tindakan yang diambil berlawanan dengan mana-mana undang undang bertulis, berdasarkan kesilapan undang-undang  atau gagal memberikan alasan yang sepatutnya.

“Kami mempunyai kuasa yang sangat luas. Sebahagian besar kerja yang utama pada masa ini ialah menerima aduan. Kita juga ada mekanisme untuk mengesan, menyiasat dan mencegah salahlaku. Melindungi kepentingan awam dalam mencegah dan menangani salah laku seseorang pegawai penguatkuasa, menggalakkan kesedaran, mendidik masyarakat, membuat cadangan kepada kerajaan. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...