 
KUALA TERENGGANU, 19 Julai (Bernama) -- Seorang polis berpangkat koperal Khamis 
mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan 
melakukan rompakan bersendirian dan berkumpulan dalam kejadian berasingan pada 
hari sama, dua minggu lepas.
Bagi pertuduhan pertama, Wan Zazaljala Wan 
Hussin, 31, didakwa merompak sebuah beg tangan warna ungu bersama identiti 
pengenalan dan kad bank, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM300 milik Goh 
Lee Chin, 38, di Mesin ATM Public Bank, Dungun pada 2.20 petang, 5 Julai lepas 
sebelum ditahan polis dua hari kemudiannya.
Dia yang berasal dari Jertih, 
Besut didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 
maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim Wan 
Fadhilah Nor Wan Idris membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang 
penjamin dan menetapkan 4 Sept ini untuk sebutan kes.
Pendakwaan 
dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat manakala 
tertuduh tidak diwakili peguam.
 
