Jumaat, 20 Julai 2012

Dibaling molotov cocktail


IPOH - Detik cemas dihadapi seorang tukang urut apabila laman rumahnya menjadi sasaran 'molotov cocktail' yang dibaling dua lelaki tidak dikenali sehingga menyebabkan kereta jenis Nissan Sentra miliknya rosak dalam kejadian di Taman Desa Kencana, Bercham, di sini, lewat malam kelmarin.

Dibaling molotov cocktailDibaling molotov cocktailMangsa, Ho Ah Kwai, 59, memaklumkan, kejadian berlaku pada 12.30 tengah malam sewaktu dia baru menuju ke bilik tidur selepas menonton televisyen di ruang tamu.

Menurutnya, sebelum sempat masuk ke bilik tidur, dia terdengar jirannya menjerit menyuruhnya keluar dari rumah.

"Saya terkejut lalu bergegas keluar. Ketika itu saya lihat api semakin marak berhampiran kereta dan dalam keadaan panik saya pasang paip air dan cuba memadamkan api dengan bantuan jiran.

"Api berjaya dipadamkan 10 minit kemudian dan saya difahamkan dua lelaki menaiki motosikal berhenti di depan rumah lalu membaling bahan letupan," katanya ketika ditemui, di sini.

Tambahnya, semasa kejadian, seorang pemandu teksi kebetulan melalui kawasan rumahnya, lalu berhenti dan menyergah kedua-dua lelaki terbabit, menyebabkan mereka terkejut lalu melarikan diri.

"Pemandu teksi turut membantu saya memadamkan kebakaran namun usahanya gagal kerana pin keselamtan alat pemadam api yang digunakannya gagal dicabut.

"Saya tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi itu. Anggaran kerugian ke atas kereta saya adalah kira-kira RM1,000, melibatkan kerosakan pintu kiri dan tayar belakang sebelah kiri.

Beliau juga tidak tahu motif kejadian kerana mendakwa tidak mempunyai musuh dan berharap sesiapa yang mempunyai masalah dengannya dapat
berbincang secara elok.

"Saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Bercam sejurus selepas kejadian," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Rukun Tetangga Bercham, Tan Swee Kong berkata, kejadian seumpama itu kali pertama berlaku dan berharap rondaan polis dibuat lebih kerap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kes ini disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...