PUTRAJAYA - Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan membudayakan integriti sebagai amalan hidup dan menangani persepsi rakyat terhadap agensi penguatkuasaan melalui penganjuran sambutan Hari Integriti Nasional dan Konvensyen Integriti Nasional tahun 2012 yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dihadiri oleh wakil- wakil dari agensi- agensi penguatkuasa, agensi kerajaan dan NGO.
Pengerusi Institut Integriti Malaysia merangkap Ketua Setiausaha Negara, Dato Sri Ali Hamsa melalui perutusan beliau berkata, Konvensyen Integriti Nasional 2012 ini amat tepat pada masanya kerana kerajaan sedang berusaha untuk membawa transformasi kepada semua sektor masyarakat termasuk perkhidmatan awam. Beliau percaya usaha IIM dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan serta SPRM untuk 'Menangani Persepsi Rakyat Terhadap Integriti Agensi Penguatkuasaan' yang menjadi tema konvensyen ini akan membuahkan hasil terutama debgan kerjasama erat semua agensi penguatkuasaan yang terlibat.