Khamis, 2 Januari 2014

Mayat lelaki Myanmar ditemui dalam semak

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki Myanmar ditemui mati dengan kaki dan tangannya terikat ke leher dalam kawasan semak di kampung Masjid Timah, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, mayat lelaki yang dikenali sebagai Sadnoor Abdullah, 28, itu ditemui oleh seorang penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan pada pukul 12 tengah hari.
"Lelaki berkenaan yang melalui kawasan semak itu untuk ke kedai runcit berhampiran terbau benda busuk sebelum cuba mencari dari mana puncanya dan menemui mayat berkenaan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan awal polis menemui kesan pukulan di bahagian kepala dan lelaki itu dipercayai mati kira-kira 10 jam lepas.
Mazlan berkata, polis percaya lelaki itu dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan semak berkenaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Warga emas maut ditikam ketika berjoging

GEORGE TOWN - Seorang warga emas yang menjalani rutin hariannya dengan berjoging di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah, dekat sini ditemui mati dipercayai ditikam oleh seorang individu tidak dikenali pagi awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 6.30 pagi itu, mayat mangsa yang dikenali sebagai Ang Cheng Hoo, 64, ditemui terbaring dengan berlumuran darah di lorong pejalan kaki oleh seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di sebuah pangsapuri yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, mangsa mati akibat cedera parah di beberapa bahagian badan terutama di kepala dan leher.
Polis bagaimanapun menolak kemungkinan mangsa dirompak kerana kesemua barangan berharga milik mangsa termasuk telefon bimbit dan dompet ditemui bersama mangsa.
Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan agar menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran untuk membantu siasatan polis. - KOSMO!

Rabu, 1 Januari 2014

T-SHIRT PROVOKASI SERTA BOM BUATAN SENDIRI ANTARA DIRAMPAS



Pihak polis berjaya menahan seorang lelaki yang mencurigakan dalam aksi kejar-mengejar di sekitar ampang. Hasil pemeriksaan lanjut, sebatang paip disyaki bom buatan sendiri bersama mercun botol bersumbu telah dijumpai bersama suspek.


Telefon bimbit suspek dirampas, dan semakan rekod mendapati suspek mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau dan positif dadah. 


Hasil risikan dan maklumat pihak polis telah berjaya merampas pelbagai jenis T-Shirt di sebuah rumah di Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan. Pemeriksaan dijalankan mendapati T-Shirt tersebut mempunyai cetakan berunsurkan hasutan yang boleh menimbulkan provokasi. 

Berikutan itu polis telah merakam percakapan seorang lelaki berumur 37 tahun untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan.


Kes disiasat di bawah Seksyen 124c Kanun Keseksaan. Walau bagaimanapun polis masih melakukan siasatan lanjut.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2014

Selasa, 31 Disember 2013

Dua lelaki lepas tembakan semasa merompak diburu

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU - Polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes rompakan sebuah kedai menjual telefon bimbit di Kampung Seberang Kastam, Kuala Besut Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata pihaknya telah menemui beberapa petunjuk dan kini sedang memburu kedua-dua suspek yang berusia sekitar 20-an itu.

"Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis itu, kita berjaya menemui beberapa petunjuk dan usaha mengesan sedang dijalankan," katanya kepada Bernama.

Dalam kejadian itu, perompak turut menembak seorang peniaga yang cuba membantu tiga jurujual wanita premis telefon bimbit itu.

Peniaga kedai makan tersebut yang kedainya terletak besebelahan premis itu tercedera pada perutnya dalam kejadian kira-kira pukul 2.55 petang itu.

Para perompak kemudiannya melarikan sejumlah telefon bimbit.


Manoharan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...