Rabu, 5 Jun 2013

Polis Perak Buru Dua Lelaki Berhubung Kes Bunuh


IPOH: Polis sedang memburu dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh di lombong terbiar berhampiran Kawasan Industri Bemban, Batu Gajah di sini, 5 Mei lepas.
Mereka ialah K. Hemakumar atau lebih dikenali sebagai Chinapaiya, 27, dariStesen 11 Jalan Teluk Intan di Bidor; dan S. Marimuthu, 38, dari Kampung Kilang Besar Bukit Jenun Pendang, Kedah.
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam meminta orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi polis bagimembantu siasatan.
Polis telah merakam percakapan 10 saksi bagi membantu siasatan kes, katanya.
Katanya, seramai 11 suspek berkaitan dengan kes itu ditahan pada 11 hingga 23 Mei di sekitar Bidor, Lahat, Menglembu, Sungkai dan Temoh.
Ditanya sama ada pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan politik ekoran mangsa dipercayai dibunuh pada hari berkempen bagi pilihan raya umum ke-13, beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai sudut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat K. Murugan ditemui oleh seorang lelaki penggembala lembu berumur 79 tahun pada pukul 5 petang, dengan keadaan tangan, badan dan kaki si mati berikat dengan dawai dan terdapat bongkah besi yang diikat pada bahagian badannya.
"Hasil siasatan polis mendapati mangsa dipercayai hilang bersangkut dengan laporan polis di Bidor. Si mati tidak balik ke rumah pada 1 Mei lepas setelah keluar untuk membersihkan tempat ceramah di padang," katanya. - BERNAMA

3 anggota polis didakwa bunuh Dhamanderan


KUALA LUMPUR 5 Jun - Tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh N. Dhamanderan, 32, bulan lalu.

Kesemua tertuduh Sarjan Jaffri Jaafar, 44; Koperal Mohd. Nahar Abd. Rahman, 45; dan Koperal Mohd. Haswadi Zamri Shaari, 32, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 9 Julai ini sementara menunggu laporan bedah siasat. - UTUSAN ONLINE


Selasa, 4 Jun 2013

Ketua Balai Polis Senai cedera ditembak penjenayah

Gambar hiasan
ALOR SETAR – Ketua Balai Polis Senai, Johor cedera ditembak ketika cuba menghalang dua penjenayah melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Batu 4, Jalan Kuala Sungai di sini petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, Inspektor Zuwairi Ramli, 30, cedera di tapak tangan kanan dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Semasa kejadian, pegawai polis yang sedang bercuti bersama keluarganya itu dalam perjalanan pulang ke Johor selepas menghantar rombongan pengantin ke Pulau Langkawi.
Zuwairi dikatakan turun dari kereta dan menuju ke kedai tersebut selepas beliau berasa curiga melihat dua lelaki berada di dalam premis berkenaan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, Zuwairi yang berjalan menuju ke kedai itu terus ditembak oleh salah seorang penjenayah yang ketika kejadian mahu meninggalkan kedai emas tersebut. - KOSMO!

Penyelia Syarikat Perkapalan Ditemui Mati Dalam Kereta

Gambar hiasan
JOHOR BAHARU: Seorang penyelia sebuah syarikat perkapalan ditemui mati, dipercayai dibunuh, dalam sebuah kereta di Taman Perindustrian Desa Cemerlang di sini, dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Roslan Zainuddin berkata Khairul Azam Abdul Rahman, 29, ditemui orang awam pada 11 malam yang curiga dengan kehadiran sebuah kereta jenis Inokom Atos di kawasan itu. "Terdapat kesan lebam pada kepala Khairul Azam, dan bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) mendapati terdapat kesan pukulan dipercayai dengan objek keras di bahagian kepala yang menyebabkan kematian mangsa," katanya ketika dihubungi pada Selasa. Beliau berkata mangsa ditemui di bahagian tempat duduk pemandu dan polis kini menyiasat kejadian itu secara terperinci mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Rahman Abdul Karim, 56, berkata anak sulung daripada dua beradik itu keluar dari rumah mereka di Bandar Baharu Uda di sini pada kira-kira 3 pagi, dua hari lepas.

Kementerian Dalam Negeri Kaji Cadangan Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan & Salah Laku Polis

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri akan mengkaji cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk menyiasat aduan berkaitan salah laku anggota penguatkuasaan di negara ini.
Timbalan Menterinya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kajian perlu dibuat tentang keberkesanan IPCMC berbanding cara lain seperti lembaga tatatertib dalaman polis, yang telah terbukti keberkesanannya kerana ia memenuhi semua keperluan untuk menangani anggota polis yang melakukan kesalahan.
"Ada pihak mendakwa apa yang ada sekarang, lebih baik daripada apa yang disyorkan melalui IPCMC. Saya perlu melihat kedua-duanya terlebih dulu dan kami akan keluarkan satu kenyataan mengenainya selepas itu," kata beliau kepada pemberita selepas melawat Klinik Cure & Care 1Malaysia di Sungai Besi di sini Selasa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...