Selasa, 25 Jun 2013

Majikan Warga Emas Dibunuh, Disamun Dipercayai Oleh Amah Indonesia

Gambar hiasan
ALOR SETAR: Seorang warga emas meninggal dunia selepas ditikam dengan gunting dan disamun dipercayai oleh pembantu rumahnya sendiri di Taman Serindit, Jalan Langgar di sini, Isnin.
Mangsa, Che Siah Wan Nik, 75, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik di rumahnya dengan kesan tikaman di rusuk kiri.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata polis menerima panggilan pada 11.25 pagi daripada jiran mangsa yang mengatakan berlaku kes samun di rumah Che Siah.
Ketika polis tiba di tempat kejadian, pembantu rumah berasal dari Batam, Indonesia berusia 38 tahun mendakwa majikannya itu dirompak empat lelaki warga Indonesia, katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Mayat Manusia Dicincang Dan Dibakar Ditemui Dekat Genting Skyway

Gambar hiasan
KUANTAN: Mayat manusia yang dicincang dan dibakar ditemui di Jalan Pintas dekat Genting Skyway, Genting Highlands petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Mohamad Mansor Mohd Nor berkata polis bergegas ke tempat kejadian selepas penemuan itu dimaklumkan orang awam pada kira-kira 4 petang.
"Mayat mangsa yang tidak dikenal pasti itu ditemui di situ, yang merupakan jalan pintas ke Gohtong Jaya kira-kira 1 kilometer selepas bulatan 'U' ke arah Kuala Lumpur.
"Mayat itu dipercayai dikerat kepala sehingga putus dan badannya dicincang sebelum dibakar," katanya ketika dihubungi di sini Isnin.
Beliau berkata berdasarkan keadaan mayat yang teruk terbakar, polis tidak dapat mengecam jantina mangsa.
Mayat itu dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

Ahad, 23 Jun 2013

PERHIMPUNAN BERJAYA DIKAWAL, TINDAKAN TEGAS TERHADAP PENGANJUR



Bangi, 22 Jun - Meskipun pasukan keselamatan berjaya mengawal perhimpunan di Padang Merbok, tindakan tegas tetap akan diambil terhadap pihak penganjur, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin.

"Kita akan mengambil tindakan terhadap penganjur tersebut seperti mana sedia maklum di bawah Akta Perhimpunan Aman.Kita akan mengambil tindakan-tindakan susulan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan Kejohanan Bola Sepak Terbuka dan Veteran 9 Sebelah Piala Ketua Polis Negara 2013 di sini hari ini.

"Kita melihat dari sudut keselamatan, kita dapat uruskan secara berkesan dan masyarakat boleh menilai tentang perhimpunan yang berlaku di Padang Merbok," katanya. - BERNAMA

Provokasi penyokong punca anggota DBKL dikasari


KUALA LUMPUR 23 Jun - Tindakan provokasi dan kata-kata kesat sekumpulan peserta perhimpunan didapati menjadi punca insiden dua anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikasari di Padang Merbok petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang penguatkuasa DBKL berusia 51 tahun berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, pengadu memaklumkan kejadian tercetus apabila seorang Kadet Inspektor Penguasa (KIP) dan Penguasa DBKL cuba mengambil gambar dan menutup khemah yang mula dipasang setelah mendapat arahan.

"Pengadu dan KIP telah ke khemah yang didirikan dan meminta orang yang bertanggungjawab untuk membuka khemah dan tiba-tiba, sekumpulan lelaki seramai 20 hingga 30 orang mengerumuni pengadu dan KIP," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini malam tadi.

Beliau berkata, kumpulan itu kemudian membuat provokasi dengan menolak pengadu dan KIP serta melontarkan kata-kata kesat.

Pengadu dan KIP itu bagaimanapun berjaya dibawa keluar oleh anggota DBKL dan polis daripada kumpulan berkenaan sebelum insiden lebih teruk berlaku.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 186 kanun keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas, katanya. - BERNAMA

Bekas Pelajar UiTM Ditahan Di Bawah Akta Hasutan


KLANG: Seorang bekas mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 di hadapan rumahnya di Klang, Selangor pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman Datuk Hadi Ho berkata bekas penuntut itu ditahan pada 5.30 petang berhubung kenyataan di laman blognya yang cuba menghasut untuk menyerang pasukan keselamatan pada perhimpunan haram anjuran pembangkang di Padang Merbok, di sini hari ini.
"Dalam kenyataannya itu turut mengganggap perhimpunan pada hari ini tidak akan berjaya sekiranya kereta FRU (Polis Unit Simpanan Persekutuan) tidak diterbalikkan dan sebagainya," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...