Selasa, 5 November 2013

CCTV Tidak memberi kesan kepada penyamun - 3 minit kebas 20 telefon

Foto
RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek bertopi keledar mengugut pekerja premis.
Johor Bahru: Seorang lelaki yang memakai baju hujan berwarna biru dan bertopi keledar mengacukan sepucuk pistol dipercayai pistol mainan ke aras seorang pekerja premis telekomunikasi sebelum melarikan telefon bimbit pelbagai jenama bernilai lebih RM10,000 dalam kejadian di Taman Setia Indah, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian yang berlaku kurang tiga minit kira-kira jam 5 petang itu, penjenayah terbabit menyamar pelanggan ketika memasuki premis berkenaan.
Perbuatan suspek dalam lingkungan 30-an itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis, sebelum tersebar menerusi laman sosial Facebook hingga menimbulkan pelbagai reaksi.

Ia menunjukkan dalam tempoh kira-kira tiga minit, suspek melarikan kira-kira 20 telefon bimbit dengan memasukkan semua hasil rompakan itu ke dalam beg plastik.

Terdahulu, lelaki terbabit melihat seorang pekerja wanita berusia 20-an berseorangan sebelum berpura-pura meninjau di beberapa ruang pameran premis itu sebelum mengacukan pistol ke arah mangsa.

Ahad, 3 November 2013

Pengawal keselamatan melarikan barang kemas bernilai RM100,000

Konspirasi isteri jaga

Kuala Lumpur: Pengawal keselamatan yang melarikan barang kemas dari sebuah kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Setapak, di sini, semalam, dikatakan sudah merancang jenayah itu bersama seorang wanita, dipercayai isterinya sejak sebulan lalu.
Dalam kejadian jam 9.40 pagi semalam, pengawal keselamatan berusia 23 tahun itu melarikan 93 utas rantai emas pelbagai saiz bernilai lebih RM100,000 dalam tempoh dua minit dengan bersenjatakan pistol.
Berdasarkan saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Siti, 20, yang bekerja di sebuah kios makanan berhampiran kedai emas itu, isteri suspek akan menemani suspek dari waktu pagi hingga habis tempoh bekerja sejak sebulan lalu. 

Menurutnya, dia juga pernah nampak suspek bersama isterinya yang dipercayai warga asing itu merakam gambar barang kemas yang dipamerkan di kedai itu, malah isterinya juga dilihat sering memerhati tindak-tanduk staf lain dan kamera litar tertutup (CCTV) yang berada dalam kedai.

KLIK DISINI untuk berita selanjutnya

LELAKI CEDERA BAHAGIAN RUSUK KANAN AKIBAT DITEMBAK


Ipoh, 1 Nov - Seorang lelaki cedera pada rusuk kanan selepas ditembak di sebuah restoran bersebelahan bangunan Yik Foong di Jalan Laksamana di sini awal hari ini.

Lelaki berumur 38 tahun itu kini stabil dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata kejadian berpunca daripada pertengkaran antara lelaki itu dengan lima rakannya yang ketika itu sedang minum di restoran berkenaan pada pukul 3.30 pagi. 

"Dua daripada rakannya kemudian beredar dari restoran itu dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Honda CRV warna hitam. Lebih kurang 20 minit kemudian dua lelaki yang sama datang semula (ke restoran) dan pertengkaran berlaku di antara mereka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata seorang daripada suspek melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa.

"Kesemua mereka yang terlibat bertindak melarikan diri sejurus selepas kejadian," katanya sambil memberitahu bahawa polis menemui satu kelongsong peluru jenis 9mm BR-CS & B di restoran berkenaan.

Acryl Sani berkata siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Kampar di sini tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata sehubungan itu, polis menahan empat lelaki berumur antara 35 hingga 45 tahun yang kesemuanya berasal dari Perak, bagi membantu siasatan.

Seorang daripada mereka mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, katanya - BERNAMA

Sabtu, 2 November 2013

MARSYAL MENGENDALI KONVOI MELANGGAR UNDANG-UNDANG

CHUKAI - Semua pengiring atau marsyal yang mengendali konvoi kenderaan di jalan raya diingatkan tidak melakukan perkara yang boleh menghalang pergerakan lalu lintas, sekali gus melanggar undang-undang terutama di persimpangan jalan mempunyai lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, marsyal hanya pengawal konvoi, namun tidak berkuasa untuk melencongkan trafik dan melanggar lampu isyarat merah.

“Tugas pengiring konvoi adalah menguruskan peserta sahaja dan tidak mempunyai kuasa menahan pergerakan kenderaan lain semata-mata untuk memberi laluan agar pergerakan mereka lancar.

“Hanya polis diberi kuasa menahan kenderaan di jalan raya kerana polis lebih terlatih mengendalikan lalu lintas terutama ketika jalan sibuk,” katanya selepas majlis ramah mesra PDRM Kemaman bersama Yamaha Motorsports Fan Club di pekarangan Bangunan Mara Chukai, dekat sini.

Jangan lindungi penjenayah

Jangan lindungi penjenayah
PASIR PUTEH - Polis menyelar sikap sesetengah masyarakat yang melindungi penjenayah dan menyembunyikan aktiviti mereka daripada polis hanya kerana mengenali atau bersaudara dengan penjenayah terbabit.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, tindakan itu akan menyebabkan jenayah semakin subur dan membawa keburukan kepada masyarakat serta diri sendiri.

Katanya, mereka yang melakukan jenayah kecil akan terdorong melakukan jenayah besar seperti membunuh sekiranya perbuatan mereka tidak dibendung daripada awal.

“Kita kenal suspek yang melakukan jenayah kecil di kampung kita tapi kita tidak melaporkannya kepada polis kerana mengenalinya sehinggalah suspek melakukan jenayah besar, ini masalah besar sebenarnya dan pemikiran sebegini mesti diubah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...