Sabtu, 21 Disember 2013

SISTEM PEMANTAUAN ADUAN AGENSI AWAM BERSEPADU



Secara ringkasnya, i-SPAAA merupakan satu sistem pemantauan aduan awam kepada PDRM secara berpusat selain menyelesaikan aduan awam dengan cepat, adil dan mesra.

Orang ramai boleh menyalurkan segala bentuk aduan berkaitan PDRM ke saluran berpusat ini melalui saluran berikut : 

Laman Web : www.rmp.gov.my/ispaaa
Emel : ispaaapdrm@rmp.gov.my 
Talian bebas tol : 1800-880-222
Faks : 03-22668790
Alamat surat menyurat : Timbalan Ketua, Urusetia Ketua Polis Negara Integriti (Tatatertib), Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, 50560 Kuala Lumpur (U/P : Unit Pengaduan/Rekod (i-SPAAA)

PDRM akan melancarkan secara rasminya i-SPAAA ini pada 20 Disember 2013 jam 9.30 pagi bertempat di Dewan Theatrette, Menara 1, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Jumaat, 20 Disember 2013

Kes Culik Di Semporna: Pelancong Taiwan Berjaya Diselamatkan

PETALING JAYA: Seorang pelancong warga Taiwan yang diculik dari Pulau Pom Pom di luar pantai Sabah pada 15 November lalu telah diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Menerusi tulisan Khalid di Twitter miliknya, beliau mengucapkan tahniah kepada rakyat Filipina kerana berjaya menyelamatkan Chang An Wei.
"Mangsa telah diselamatkan di Sulu dan dibawa ke hospital di sana.
"Wanita itu akan diterbangkan ke Zamboanga City esok (Sabtu)," kata Khalid, sambil menambah bahawa pihak berkuasa Filipina akan mendedahkan lebih banyak butiran dan perkembangan lanjut berhubung perkara itu.
Dalam insiden pada 15 November lalu, sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati suami Chang dan menculiknya dalam satu serbuan di resort di Pulau Pom Pom di luar pantai Semporna di pantai timur Sabah.
Laporan awal menyatakan bahawa kumpulan lelaki bersenjata itu mendarat di villa atas air diPom Pom Island Resort and Spa dan menggeledah tiga daripada enam villa termasuk satu unit yang didiami oleh mangsa Lim Min Hsu, 57, dan Chang, 58.
Ketika serbuan itu, terdapat 48 pelancong dan kakitangan di pulau itu, tetapi tidak dipastikan jumlah sebenar kesemuanya.
Resort berkenaan terletak kira-kira 1 kilometer dari pangkalan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan keselamatan diperketatkan di perairan dari Semporna ke Lahad Datu di laut Sulu dan Sulawesi sejak kumpulan bersenjata Sulu menyerang Lahad Datu pada Februari lalu.
Menurut laporan awal berhubung insiden tembakan di Pulau Pom Pom, seorang penyelia di resort itu mendengar bunyi tembakan pada pukul 1 pagi Jumaat dan segera memaklumkan mengenainya kepada pihak PGA.
Sejumlah besar anggota PGA segera bergegas ke resort itu di mana mereka mendapati mayat Lin dengan kesan luka dua tembakan di koridor.
Isterinya bagaimanapun hilang dan dia dipercayai telah diculik oleh kumpulan lelaki bersenjata itu, di mana difahamkan mereka menuju ke Pulau Mataking dekat perairan Filipina.

Khamis, 19 Disember 2013

Kastam juga terlibat sindiket dadah antarabangsa

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Polis tidak menolak kemungkinan anggota Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah antarabangsa menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sumber polis berkata mereka antara lain berperanan sebagai dalang dengan membenarkan keldai dadah warga asing memasuki negara tanpa pemeriksaan rapi di bahagian masing-masing.

"Bukan sahaja bagasi mengandungi dadah dapat dibolosi malah individu yang membawa dadah itu juga terlepas daripada pemeriksaan pihak berkenaan.

"Jadi, kita lihat ini adalah satu rangkaian sindiket dadah yang besar menggunakan agensi penguat kuasa untuk meloloskan dadah ke dalam negara," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan kes penangkapan 11 lelaki termasuk empat pegawai kanan dan pegawai penguat kuasa Kastam dalam beberapa serbuan di ibu negara dan Negeri Sembilan pada 14 dan 16 Dis lepas, yang melibatkan rampasan dadah bernilai RM14 juta.

Dalam rampasan itu, polis turut menemui sepucuk pistol jenis CZ bersama magazin serta 30 butir peluru.

Menurut sumber itu pistol itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya pada 26 April lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Bernama bagaimanapun berkata pihaknya belum dapat memastikan kaitan senjata api itu dengan pembunuhan itu.


"Jangan spekulasi perkara ini kerana ia masih dalam siasatan," katanya.
   
Difahamkan senjata api itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian balistik.  - Bernama

Individu Bersama Pelaku Rogol Turut Dianggap Penjenayah

KUALA LUMPUR: Individu yang didapati berada bersama atau merangsang anggota kumpulannya melakukan jenayah rogol tetap dianggap penjenayah, walaupun tidak melakukan jenayah seksual.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata perkara itu antara klausa baharu yang dimasukkan dalam pindaan Akta Kanun Keseksaan, memandangkan sebelum ini tidak ada sebarang peruntukan berhubung kesalahan rogol berkumpulan.
"Sebagai contoh seseorang individu yang didapati hadir dalam perlakuan jenayah rogol termasuk sebagai penjaga pintu bilik atau pemandu kereta tetap dianggap penjenayah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 di Dewan Negara pada Rabu.
Pindaan kepada Akta Kanun Keseksaan itu antara lain bertujuan memasukkan seksyen baharu 375B mengenai kesalahan baharu rogol secara berkumpulan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun.
Nancy menarik perhatian sabitan itu dibuat berasaskan niat bersama dan turut menjadi amalan perundangan di India sewaktu negara berkenaan berdepan kes jenayah rogol berkumpulan baru-baru ini. Kepada cadangan supaya hukuman sebat turut dikenakan bagi kesalahan rogol berkumpulan seperti mana hukuman bagi kes rogol biasa, Nancy berkata perkara itu tidak perlu kerana hukuman penjara dalam tempoh yang lama sudah cukup berat.
"Hukuman sebatan ke atas pesalah rogol berkumpulan tidak perlu kerana hukuman penjara 10 hingga 30 tahun sudah memadai. Tempoh hukuman penjara yang lama itu sudah berat dan cukup untuk mengajar mana-mana pesalah rogol," katanya.
Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan seseorang yang didapati bersalah melakukan jenayah rogol boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan. -BERNAMA

Rabu, 18 Disember 2013

PENGAMBILAN BEKAS TENTERA MENYERTAI PDRM


Eksesais pengambilan bagi jawatan Konstabel (Lelaki/Wanita) dan Konstabel Sokongan (Lelaki/Wanita) daripada kalangan Bekas Tentera bermula dari 18 December 2013 hingga 31 December 2013. Permohonan dan maklumat lanjut, sila layari Portal Rasmi PDRM di www.rmp.gov.my (Sistem Semakan Online - SSO). 

Syarat dan kelayakan adalah seperti berikut:

Warganegara Malaysia (Bekas Tentera)
Berumur tidak melebihi 45 tahun pada tarikh tutup permohonan.
Berkhidmat 10 tahun ke atas dan tidak menerima pencen bulanan serta bebas daripada tindakan tatatertib

Kelayakan Akademik Konstabel (Lelaki/Wanita) Bekas Tentera:

• Lulus Sijil Pelajaran Malaysia dengan mendapat Kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (termasuk lulus Ujian Lisan).
• Telah menduduki SPM mengikut sistem terbuka dengan mendapat Kepujian di dalam 2 mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu dan lulus dalam 4 mata pelajaran lain dalam satu peperiksaan atau dua peperiksaan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

Kelayakan Akademik Konstabel Sokongan (Lelaki/Wanita) Bekas Tentera:

•   Lulus SRP dengan mendapat Kepujian dalam Bahasa Malaysia.
• Lulus PMR dengan mendapat Kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu dengan mendapat Gred C dan lulus sekurang-kurangnya empat mata pelajaran lain termasuk matematik dengan mendapat Gred D.

Kelayakan fizikal Konstabel / Konstabel Sokongan (Lelaki/Wanita) Bekas Tentera:

• Tinggi sekurang-kurangnya 163 sm (lelaki) dan 157 sm (wanita) tanpa bersepatu.
• Berat badan sekurang-kurang 50 kg (lelaki) dan Wanita sekurang-kurangnya 48 kg.
• Mempunyai ukuran Indeks Jisim Badan (BMI) di antara julat 19 hingga 26.
• Ukuran lilitan dada biasa 81 sm (normal) dan semasa menarik nafas 86 sm (lelaki sahaja).
• Lulus ujian penglihatan bagi mata kiri dan kanan yang diuji berasingan dengan ketetapan V/6/9 tanpa menggunakan cermin mata atau kanta lekap.
• Pengecaman warna dan pendengaran yang tidak cacat;
• Diperiksa dan diperakui sihat untuk berkhidmat oleh pengamal perubatan berdaftar (kerajaan).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...