Jumaat, 3 Januari 2014

Peniaga parah ditembak

KULIM: Seorang peniaga perkakasan rumah cedera parah terkena tembakan dengan pistol dari jarak dekat ketika sedang minum di sebuah restoran di Taman Kempas Indah, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam apabila dua lelaki menaiki sebuah motosikal berhenti di hadapan restoran tersebut dan seorang daripada mereka melepaskan beberapa das tembakan.
"Tembakan itu mengenai badan mangsa yang berumur 46 tahun dari Taman Jati di sini. Keadaan lelaki itu dilaporkan stabil setelah diberi rawatan di Hospital Kulim," katanya di sini, hari ini. 

Beliau berkata peniaga itu yang menjalankan perniagaan di Taman Kempas sempat lari sejauh 40 meter untuk menyelamatkan diri selepas ditembak sebelum terjatuh manakala penyerangnya memecut motosikal dan melarikan diri.

Peniaga itu bernasib baik orang ramai berhampiran tempat kejadian membantunya dan menghubungi polis untuk dihantar ke Hospital Kulim, kata Ghuzlan.

Katanya polis yang menyiasat kejadian itu menjumpai lima kelongsong peluru pistol di kawasan restoran tersebut. Polis mengesyaki serangan itu bermotifkan dendam. - Bernama

Polis Teliti Rakaman CCTV Kesan Dua Suspek Larikan Barangan Kemas 5 Kg


GEORGE TOWN, 2 Jan (Bernama) -- Polis Pulau Pinang sedang menganalisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Seberang Jaya di sini, bagi mengecam wajah dua suspek dalam kes barangan kemas dilarikan dari sebuah kereta, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Mazlan Kesah berkata rakaman itu memaparkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal berhenti di sisi kereta jenis Perodua Kancil berkenaan dengan seorang daripada mereka memecahkan cermin kereta tersebut.

"Lelaki itu bertindak mengambil beg berisi pelbagai barangan kemas seberat lima kilogram yang berada di tempat letak kaki penumpang hadapan sebelum mereka melarikan diri dengan motosikal jenis Yamaha 125z," katanya ketika dihubungi Bernama Khamis.

Dalam kejadian 8 malam itu, seorang pekerja kedai emas di Parit Buntar, Perak, memberhentikan keretanya di stesen minyak tersebut untuk menggunakan tandas.


Mangsa yang kembali semula ke keretanya kira-kira lima minit kemudian bagaimanapun terkejut apabila mendapati cermin kenderaan itu pecah dan beg mengandungi barangan kemas bernilai RM650,000 yang baru diambilnya dari sebuah kilang di Butterworth, lesap.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata polis sudah merakamkan keterangan daripada saksi dan meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Ibu Dan Anak Lelaki Ditemui Dibunuh Di Villa Kipmart


JOHOR BAHARU, 2 Jan (Bernama) -- Seorang ibu dan anak lelakinya ditemui mati berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman di sebuah bilik tidur di Villa Kipmart di sini awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Ismail Yatim berkata mayat Patmavathy A.T Samy, 63, dan anaknya Suba R. Subramaniam, 40, ditemui terbaring di dalam bilik itu oleh keluarga mereka kira-kira pukul 1 pagi.

"Polis yang dimaklumkan tentang kejadian itu telah bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan menemui sebilah pisau dan gunting yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Katanya polis masih menyiasat motif pembunuhan dua beranak tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Berikutan itu juga, polis sedang mengesan dua lelaki warga asing yang bekerja dengan keluarga tersebut yang dipercayai menghilangkan diri selepas kejadian. BERNAMA

Khamis, 2 Januari 2014

6 penyamun kebas 30 komputer sekolah

Kuala Lumpur: Akibat tidak membenarkan pengawal keselamatan membuat rondaan di tingkat atas bangunan, sebuah sekolah di Setapak di sini, kerugian lebih RM10,000 apabila 30 komputer dilarikan sekumpulan enam perompak bertopeng, kelmarin.
Harian Metro difahamkan, dalam kejadian antara jam 1 hingga 3 pagi itu, terdapat dua pengawal keselamatan berusia 30-an sedang bertugas, namun tidak menyedari kehadiran kumpulan penjenayah terbabit.
Menurut sumber, pengawal keselamatan tidak dibenarkan pentadbiran sekolah untuk melakukan rondaan di tingkat atas bangunan, sebaliknya hanya diarah melakukan pemantauan di kawasan sekitar.

Katanya, kesempatan itu digunakan kumpulan penjenayah berkenaan untuk menceroboh dengan mengumpil gril dan memasuki makmal komputer untuk melarikan peralatan berkenaan.
“Kumpulan yang dipercayai bersenjata itu kemudian melarikan 30 komputer dianggarkan bernilai lebih RM10,000,” katanya.

Mayat lelaki Myanmar ditemui dalam semak

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki Myanmar ditemui mati dengan kaki dan tangannya terikat ke leher dalam kawasan semak di kampung Masjid Timah, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, mayat lelaki yang dikenali sebagai Sadnoor Abdullah, 28, itu ditemui oleh seorang penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan pada pukul 12 tengah hari.
"Lelaki berkenaan yang melalui kawasan semak itu untuk ke kedai runcit berhampiran terbau benda busuk sebelum cuba mencari dari mana puncanya dan menemui mayat berkenaan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan awal polis menemui kesan pukulan di bahagian kepala dan lelaki itu dipercayai mati kira-kira 10 jam lepas.
Mazlan berkata, polis percaya lelaki itu dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan semak berkenaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...