Isnin, 14 April 2014

Van rokok disamun rugi RM40,000

Mungkin dijual kepada peniaga2 ini ???
BENTONG - Sekumpulan penjenayah bertindak mengikat seorang pemandu van rokok sebelum melarikan rokok pelbagai jenama dan wang tunai bernilai hampir RM40,000 di hadapan sebuah pasar raya di Karak dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian pada kira-kira jam 10.45 pagi itu berlaku ketika mangsa berada di tepi van berkenaan bagi menurunkan rokok untuk di hantar ke pasar raya berkenaan.

“Tiba-tiba datang tiga hingga empat lelaki terus menangkap mangsa dan memasukkannya ke dalam van.

“Saspek kemudian membawa mangsa dan meninggalkan mangsa di Flat Taman Perdana Raya, iaitu kira-kira 300 meter dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohamad Mansor berkata, mangsa yang berjaya melepaskan diri daripada ikatan kemudiannya pergi ke Balai Polis Karak di sini untuk membuat laporan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa ini polis masih giat melakukan siasatan bagi mengenal pasti dan mencari suspek yang terlibat.

“Berdasarkan siasatan awal suspek menggunakan dua buah kereta iaitu jenis Proton Waja berwarna kelabu dan Toyota Vios atau Hyundai berwarna hitam,” katanya.

Ahli perniagaan disimbah asid

Gambar hiasan
PORT DICKSON – Seorang ahli perniagaan yang baru sahaja selesai bermain golf di sebuah kelab golf di sini, melecur teruk akibat disimbah asid dalam kejadian kira-kira jam 7.05, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Abd Wahab Harun berkata, mangsa, Zulkafli Abdul Halim, 42, melecur di muka dan leher serta badan selepas disimbah sejenis cecair dipercayai asid di tempat letak kereta di sebuah kelab golf.

“Kejadian disedari oleh rakan mangsa yang ketika itu juga hendak pulang ke rumah selepas bermain golf bersamanya apabila mangsa menjerit kesakitan lalu bergegas menghampirinya.

“Mangsa mengadu dia telah disimbah asid dan keadaan bajunya terkoyak seperti terbakar dan kulit badan serta mukanya melecur sebelum dia dikejarkan ke Hospital Port Dickson oleh rakannya," katanya semalam.

Abd Wahab berkata, pengawal keselamatan kelab golf berkenaan mendakwa ada melihat sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna biru gelap dinaiki dua lelaki India keluar laju dari kawasan parkir.

“Siasatan awal polis mendapati, kenderaan yang digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu. Kita masih siasat motif kejadian dan polis kini sedang giat memburu suspek.  

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan benda-benda bahaya. Siasatan polis juga dijalankan dari segala sudut bagi mengesan suspek dan menyelesaikan kes,” katanya.

Abd Wahab menambah, mangsa kini di rawat di Hospital Seremban.

Ahad, 13 April 2014

Empat Laporan Polis Dibuat Terhadap Pemilik Facebook Hina Agong


KLANG, 12 April (Bernama) -- Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pergerakan Pemuda Umno hari ini membuat empat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan itu dibuat oleh Gerakan Belia 4B Kota Raja; Umno Cawangan Taman Desa Utama, Klang Jaya; Pemuda Umno Kota Raja; dan Persatuan Persatuan Penduduk Pangsapuri Klang Jaya.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Kota Raja Muhd Ali Zakariah berkata pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun facebook itu kerana menghina ketua negara.

"Sebagai rakyat Malaysia, kami mengutuk tindakan pemilik akaun itu yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Dia ibarat menghina sistem raja Melayu di negara ini.

"Kami gesa pihak berkuasa dapat siasat pemilik akaun Facebook itu dan dihukum dengan hukuman lebih berat sebagai amaran dan pengajaran pada orang lain," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Beliau berkata, akaun laman sosial itu didapati masih aktif dengan memuat naik pelbagai status mencerca keharmonian kaum di negara ini selain turut menghina Polis Diraja Malaysia, parti-parti politik dan sebagainya. -- BERNAMA

TIDAK WAJAR MAKLUMAT PENCULIKAN DI SEMPORNA DIDEDAHKAN - KPN


SINTOK, 12 April (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tidak wajar bagi pihaknya mendedahkan maklumat terkini mengenai kes culik dua wanita warga asing di sebuah resort di Semporna 2 April lepas.

"Saya tidak fikir wajar bagi saya memberitahu anda (media) maklumat terkini mengenainya (penculikan itu) demi keselamatan mangsa," katanya ketika ditemui pemberita selepas Kejohanan Bola Jaring dan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Negara di Universiti Utara Malaysia, di sini hari ini.

Khamis lepas, penculik dua wanita itu menuntut wang tebusan sebanyak RM36.4 juta untuk membebaskan seorang daripada mereka, pelancong warga China.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tiada wang tebusan dituntut bagi seorang lagi wanita, pekerja resort warganegara Filipina.

Pelancong warga China, Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai, dan pekerja resort itu, Marcy Dayawan, 40, diculik dari Singgahmata Adventures and Reef Resort oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata kira-kira pukul 10.30 malam pada hari berkenaan. - BERNAMA

Sabtu, 12 April 2014

Pelajar cedera akibat diragut


SUNGAI PETANI 10 April - Seorang pelajar tingkatan lima retak tulang bahu kanan akibat terjatuh dari motosikal ditungganginya dalam satu kejadian ragut di Taman Malinja, Semeling di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, mangsa, Nurhariani Rosnawi, 17, yang merupakan anak perempuan kepada pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rosnawi Zenon daerah Kuala Muda sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Malinja.

Nurhariani berkata, seorang lelaki yang menunggang motosikal cuba memotong motosikalnya dan merampas beg tangan miliknya yang diletakkan di dalam raga.

"Suspek gagal berbuat demikian kerana beg tangan itu diikat pada raga motosikal, lelaki itu kemudian menendang motosikal saya menyebabkan saya terjatuh tepi jalan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Nurhariani, selain mengalami keretakan pada tulang bahu, dia juga cedera di bahagian muka.

Sementara itu, isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Noradawiyah Morad melawat Nurhariani yang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...