SUNGAI PETANI 10 April - Seorang pelajar tingkatan lima retak tulang bahu kanan akibat terjatuh dari motosikal ditungganginya dalam satu kejadian ragut di Taman Malinja, Semeling di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, mangsa, Nurhariani Rosnawi, 17, yang merupakan anak perempuan kepada pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rosnawi Zenon daerah Kuala Muda sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Malinja.
Nurhariani berkata, seorang lelaki yang menunggang motosikal cuba memotong motosikalnya dan merampas beg tangan miliknya yang diletakkan di dalam raga.
"Suspek gagal berbuat demikian kerana beg tangan itu diikat pada raga motosikal, lelaki itu kemudian menendang motosikal saya menyebabkan saya terjatuh tepi jalan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Nurhariani, selain mengalami keretakan pada tulang bahu, dia juga cedera di bahagian muka.
Sementara itu, isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Noradawiyah Morad melawat Nurhariani yang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.