Sabtu, 12 April 2014

MH370: Polis rakam percakapan 205 individu


KUALA LUMPUR - Seramai 205 individu termasuk keluarga penumpang pesawat MH370 telah direkodkan percakapan bagi membantu siasatan berhubung insiden pesawat tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya merakamkan keterangan kesemua individu terbabit semalam.

“Kita akan memanggil beberapa individu lain untuk membantu siasatan, dalam masa sama terdapat perkara tertentu yang kami perlu teliti semula,” katanya yang tidak mahu mendedahkan hasil keterangan yang diambil bagi mengelak gangguan siasatan.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas kenyataan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Johor yang menafikan manggis yang dibawa ke China menerusi pesawat MH370 adalah dari daerah Muar.

“Tidak semestinya manggis itu ditanam di Johor, saya tidak kata ladangnya di Johor atau dipetik dari Muar, kita akan menyiasat sampai peringkat di mana ia dipetik, memang manggis itu dikumpul di sana sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Sebelum ini, Fama Johor menjelaskan manggis yang dibawa ke China menerusi MH370 tidak mungkin dihasilkan dari Muar dan berdasarkan rekod Fama, tiada dusun di Johor yang menghasilkan manggis ketika ini kerana musim buah itu mulai Jun ini.

Pihak polis turut menyiasat pembekal makanan bagi pesawat itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...