Jumaat, 1 April 2016

Janin Ditemui Dalam Lubang Tandas Klinik Kesihatan

Gambar Hiasan
JOHOR BARU: Satu janin lelaki, yang dianggarkan berusia enam bulan, ditemui di dalam lubang tandas di Klinik Kesihatan Ayer Baloi dekat Pontian, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supt Zakaria Abd Rahman berkata, janin yang sempurna sifat itu ditemui seorang pembantu kesihatan awam klinik berkenaan pada 11 pagi.
"Pembantu kesihatan awam berkenaan memeriksa tandas itu selepas seorang kakitangan klinik memberitahu ia tersumbat.
"Selepas tandas itu dipam, pembantu kesihatan itu menemukan janin berkenaan yang menyebabkannya tersumbat," katanya semasa dihubungi pada Khamis.
Zakaria berkata, objek itu kemudian disahkan sebagai janin oleh seorang doktor yang bertugas di klinik itu dan laporan mengenainya dibuat di Balai Polis Ayer Baloi pada 12.10 tengah hari Rabu.
Beliau berkata, janin itu dihantar ke Hospital Pontian untuk pemeriksaan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. - Bernama

Dadah: Dua Lagi Rakyat Malaysia Ditahan, Polis Thailand Rampas 282Kg 'Ice'

BANGKOK: Dua lagi lelaki Malaysia ditahan Polis Thailand semasa cuba menyeludup dadah ke Malaysia, menjadikan bilangan penyeludup dadah rakyat Malaysia yang ditangkap pihak berkuasa negara ini sejak minggu lepas ialah 23 orang.

Ketua Polis Thailand Jeneral Polis Chakhtip Chaijinda berkata dalam kejadian terbaharu, dua lelaki Malaysia
berumur 59 dan 37 tahun itu ditahan bersama-sama dengan 282 kilogram (kg) 'Ice' di Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao pada 5 petang Selasa.

"Kedua-dua lelaki itu, yang menaiki kereta Nissan Cefiro dan Proton bernombor pendaftaran Thailand, ditahan di pusat pemeriksaan itu selepas menerima maklumat daripada polis Malaysia.

"Mereka masing-masing membawa 175kg dan 107kg dadah yang disorokkan di belakang kereta berkenaan,"katanya kepada pemberita di Biro Pencegahan Narkotik Thailand di sini, Rabu.

Selasa, 29 Mac 2016

Anak Polis Mati Lemas Di Taman Tema Air Rantau Eco Park

SEREMBAN – Kunjungan sebuah ke­luarga ke taman tema air Rantau Eco Park di sini kelmarin untuk berkelah sempena cuti hujung minggu berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas di kolam.
Mohamad Thaqif Nur Iqbal Mohd. Hizzuad, 5, yang lemas di kolam disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 petang iaitu kira-kira setengah jam selepas dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini. Difahamkan Mohamad Thaqif merupakan anak anggota polis berpangkat Lans Koperal bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor.
Selain Mohamad Thaqif, dua sepupunya yang turut lemas berjaya diselamatkan.

Isnin, 28 Mac 2016

Ketua Polis Negara arah Tony Pua disiasat

KUALA LUMPUR 27 Mac - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan Pusat Tindakan Siasatan Siber Polis (PCIRC) memang­gil dan menyiasat Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berhubung catatan di akaun Twitternya semalam berhubung satu keputusan mahkamah.

Beliau menerusi laman Twitter rasminya berkata, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dipercayai sengaja memutarbelitkan fakta kes mahkamah membabitkan kematian Aminulrasyid Amzah bertujuan mengelirukan rakyat.

“PCIRC@PDRMsia. Tweet ini sengaja memutarbelitkan fakta bertujuan mengelirukan rakyat.

ATM uji peluru berpandu Starstreak (VSHORAD)

KOTA TINGGI 28 Mac - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini melancarkan tembakan peluru berpandu jarak dekat (VSHORAD) tercanggih, Starstreak di Lapang Sasar Bumi Ke Udara (LSBU), Tanjung Logok, dekat sini.

Latihan tembakan misil Starstreak terbaharu bertujuan menguji keberkesanan serta tahap kesiapsiagaan sistem persenjataan itu disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


Sistem persenjataan VSHORAD Starstreak merupakan aset pertahanan udara aras rendah terbaharu dimiliki ATM yang menggantikan sistem pertahanan teknologi lama dikenali sebagai Starburst sebelum ini.- UTUSAN ONLINE
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...