Jumaat, 25 Februari 2011

Bayi 2 bulan selamat daripada kena jual


 PEMBANTU Kebajikan Masyarakat Seberang Prai Tengah, Moliza Ismail memangku bayi yang diselamatkan sambil diperhatikan   Mohamad Zarir  di Pejabat JKM, Bukit Mertajam, semalam.
PEMBANTU Kebajikan Masyarakat Seberang Prai Tengah, Moliza Ismail memangku bayi yang diselamatkan sambil diperhatikan Mohamad Zarir di Pejabat JKM, Bukit Mertajam, semalam.
Polis tahan pasangan suami isteri, perantara bantu siasatan 

BUKIT MERTAJAM: Seorang bayi perempuan berusia dua bulan berjaya diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia dalam satu serbuan di sebuah rumah di Alma, di sini, bulan lalu. 

Bayi berkenaan yang kini berusia tiga bulan diselamatkan sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Prai Tengah (SPT) ketika berada dalam jagaan pasangan suami isteri berusia lingkungan antara 50 hingga 60 tahun pada 24 Januari lalu.
Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat SPT, Mohamad Zarir Mohamad Khozali, berkata pasangan itu yang tidak mempunyai anak, gagal mengemukakan dokumen seperti sijil kelahiran serta dokumen kesihatan dan memberi maklumat tidak tepat mengenai bayi berkenaan.

“Polis kemudian menahan pasangan berkenaan untuk siasatan lanjut, manakala bayi yang dalam keadaan sihat itu diserahkan kepada JKM untuk penjagaan sementara pada 18 Februari lalu selepas melalui pemeriksaan kesihatan dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ). 

“Bayi itu kini ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti, Kepala Batas selepas JKM mendapat perintah mahkamah. Kami kini sedang mengesan ibu bapa atau warisnya bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Katanya, pihaknya meminta kerjasama daripada ibu bapa atau waris bayi berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi JKM SPT di talian 04-5382584, 04-5385705, 04-5385707, 04-5385709. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Azman Abd Lah, ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan menyiasatnya mengikut Seksyen 14 Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007. 
Katanya, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai menjadi orang perantara sebelum menyerahkan bayi berkenaan kepada pasangan terbabit bagi membantu siasatan. 

“Kami sudah menyerahkan kertas kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya, tetapi tidak dapat mendakwa mereka kerana tidak ada bukti wujud aktiviti memperdagangkan orang berikutan transaksi belum dilakukan. 

“Bagaimanapun, kami akan membuka semula kertas siasatan jika ada bukti baru," katanya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...