Jumaat, 25 Februari 2011

Warga Zambia seludup syabu RM750,000 ditahan



SHAH ALAM: Hasrat seorang wanita warga Zambia menyeludup dadah dengan menyamar sebagai pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini, gagal selepas bekalan yang dibawanya dikesan polis setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kelmarin. 


Dadah seberat 2.7 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM750,000 itu ditemui disorok di bahagian bawah bagasi yang dibawanya selepas polis melakukan pemeriksaan rapi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata wanita berumur 24 tahun yang baru tiba dari Johannesburg, Afrika Selatan itu ditahan di kawasan mengambil bagasi selepas dia dilihat berkelakuan mencurigakan.

"Pada mulanya, kami memeriksa beg terbabit menerusi mesin pengimbas tetapi tidak menunjukkan sebarang imej mencurigakan. Tidak puas hati dengan hasil pemeriksaan, kami melakukan pemeriksaan secara manual. 


"Selepas beg diperiksa, kami menemui tiga paket plastik mengandungi syabu seberat 2.7 kg yang disorok di bahagian bawah beg," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam. 


Nordin berkata, bagi mengelirukan polis, wanita itu turut memuatkan pelbagai buku nota bersama pakaiannya dan berlagak sebagai pelajar yang belajar di IPT di negara ini. 


Beliau percaya taktik itu digunakan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa untuk mengelirukan pihak berkuasa. 

Wanita itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 2 Mac depan. 



Sementara itu, Nordin berkata, polis menahan dua warga Nigeria ketika cuba menyeludup syabu dengan jumlah berat 5.1 kg yang dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta melalui KLIA dalam dua kes berasingan pada Ahad dan Isnin lalu. 


Dalam tangkapan pertama jam 4 petang Ahad lalu, katanya, polis menahan seorang lelaki berumur 28 tahun ketika cuba menyeludup syabu seberat 1.4 kg yang disembunyikan dalam 10 'piston besi'. 

Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...