Sabtu, 12 Mac 2011

Diberi pangkat Sarjan jika ada diploma - KPN

KUALA TERENGGANU 12 Mac - Mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya kelulusan diploma akan ditawarkan pangkat Sarjan jika menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di masa depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, ia merupakan skim baru untuk PDRM menarik minat anggota masyarakat terutama golongan muda menyertai pasukan tersebut.

"Ini salah satu skim baru yang akan kita perkenalkan iaitu kelulusan minimum untuk masuk dalam perkhidmatan polis bagi pangkat Sarjan ialah diploma.

"Menerusi skim baru ini juga, kenaikan pangkat juga akan lebih cepat. Kita mempermudahkan, umpamanya Konstabel untuk naik ke pangkat Koperal, Insya-Allah dalam masa lima tahun. Kalau dulu ada sampai 10 tahun, 15 tahun ada yang pencen pun masih Konstabel lagi.

"Begitu juga pangkat-pangkat lain. Kita nak ubah (skimnya),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pemakaian pangkat Pegawai Kehormat Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor Suksis) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...