Sabtu, 12 Mac 2011

Tingkat kadar penyelesaian

BERA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya meningkatkan kadar penyelesaian kes sebanyak 66 peratus menerusi konsep 4P iaitu pelindungan (protective), pelaksanaan dan berorientasikan hasil (performance and outcome oriented), proaktif (proactive) dan berorientasikan masyarakat (people oriented) yang dilancarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada September tahun lalu. 

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, PDRM akan terus berkhidmat untuk memastikan perkhidmatan terbaik dalam menentukan kesejahteraan rakyat dan negara. 
Menurutnya, menerusi statistik pada Januari hingga Disember 2010, sebanyak 178 kes dilaporkan dan 117 daripadanya berjaya diselesaikan dengan 195 tangkapan dibuat. 

“Matlamat kami adalah untuk mengurangkan kadar jenayah. PDRM Bera berharap supaya kadar peratusan akan berjaya ditingkatkan dari semasa ke semasa. 

“Menyedari cabaran semasa yang sentiasa berubah-ubah, PDRM perlu bersifat proaktif, kreatif dan inovatif dalam perlaksanaan semua bentuk tugas kepolisan demi keberhasilan kualiti ketika menyelesaikan kes-kes besar,” katanya. 

Mohd Zahid berkata, kepolisan komuniti (Community Policing) juga mampu memberi banyak manfaat kepada penduduk yang memberi peluang kepada mereka untuk berdialog bersama PDRM mengenai pelbagai perkara dalam usaha mengurangkan kadar jenayah. 

Menurutnya, malahan, masyarakat juga berpeluang untuk bekerjasama menyelesaikan masalah jenayah menerusi penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT). 

“Saya berharap penduduk dapat menjalinkan hubungan baik dengan polis. Kami juga turut mengedarkan risalah-risalah berkaitan untuk memberi pendedahan dan maklumat kepada masyarakat mengenai kepentingan aspek keselamatan. 

“Kami mengadakan sebanyak 75 program Kepolisan Komuniti di setiap kawasan mengikut balai dan mengharapkan pendaftaran lebih ramai lagi Rakan Cop,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berharap supaya setiap anggota polis dapat memberikan khidmat terbaik dari semasa ke semasa dengan imej lebih gagah sempena sambutan Hari Polis ke-204 pada 25 Mac nanti.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...