TELUK LIPAT - Senyuman yang terukir di sebalik kedutan wajah seorang lelaki lebih separuh abad ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa terharunya dia ketika itu.
Bagi Mustaffa Sulong, 64, menjadi tetamu istimewa yang dijemput untuk menerima sumbangan di pentas khas tidak pernah muncul pada benak fikirannya.
Namun, titisan air mata yang membasahi wajah pesara polis itu sebaik dia dipapah ke pentas untuk menerima sebuah kerusi roda membuatkan hadirin turut terpaku buat seketika.
Mustaffa yang pernah berkhidmat lebih 10 tahun dalam pasukan polis itu ketika ditanya Sinar Harian berkata, dia lumpuh sejak 2002 berikutan masalah sakit sendi tulang.
Menceritakan pembabitannya dalam pasukan polis, Mustaffa berkata, dia mula berkhidmat dalam pasukan yang popular dengan lagu ‘Sang Saka Biru’ itu sejak 1954.
Mustaffa berkata, selama lebih 20 tahun menabur bakti, dia pernah bertugas di beberapa bahagian termasuk menjadi anggota pengiring di istana sebelum pencen lalu menyambung khidmatnya dalam kakitangan awam sebagai pembantu am rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pulut.
“Kepada penyumbang, terutama akhbar Sinar Harian tiada kata-kata yang dapat saya ucapkan selain terima kasih,” katanya dengan nada sebak sebaik menerima sumbangan kerusi roda dan tunai sempena program Sinar Peduli Duafa, anjuran Sinar Harian dekat sini.
Selain menerima kerusi roda, Mustaffa yang menetap di kampung Padang Jambu itu turut menerima sumbangan tunai daripada Syarikat Kasut You.