Isnin, 14 Mac 2011

Pondok polis jadi pelengkap

OLD TOWN PJ – Penduduk Seksyen 3 menyambut baik usaha Majlis Bandaraya Petaling (MBPJ) mengadakan pondok polis di Stesen Bas Jalan Othman. 

Mohd Yusof Mohd Arif 57, berkata kewujudan pondok polis di kawasan itu memang dinantikan penduduk sejak sekian lama. 

“Ini adalah antara usaha yang baik bagi merapatkan lagi hubungan polis dan masyarakat di kawasan itu,” katanya. 
Tambahnya peranan polis akan menjadi lebih besar kerana akan berada sepenuh masa di kawasan tersebut. 

“Ini merupakan salah satu usaha yang baik ditunjukkan oleh MBPJ dan sebagai penduduk di sini, sememangnya kemudahan tersebut menjadi pelengkap memandangkan kawasan ini menjadi tumpuan. 

“Diharap dengan adanya pondok ini nanti ia juga boleh menerima laporan yang dibuat oleh orang ramai,” katanya 

Kamarudin Ibrahim 44 , berkata konsep bandar selamat MBPJ terbukti berkesan dengan pembinaan pondok polis. 

“Kawasan ini agak sunyi pada waktu malam dan awal pagi, jika ada pondok polis di sini kes jenayah seperti ragut dan juga samun jalanan dapat dielakkan,” katanya. 

Tambahnya paling mustahak kawasan kejiranan itu akan selamat dan polis dapat bertindak cepat jika ada sesuatu perkara yang berlaku. 

Sementara itu Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seksyen 3, Shamsuddin Hassan berkata pihak mengucapkan terima kasih atas keprihatinan MBPJ dalam menyediakan kemudahan itu. 

“Kawasan stesen ini sendiri sering jadi tumpuan penagih dan aktiviti tidak sihat.Diharapkan dengan adanya pondok polis gejala ini dapat dikurangkan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...