Sabtu, 19 Mei 2012

736,330 biji pil Eramin 5 dirampas


KUALA LUMPUR 18 Mei - Lima hari selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket memproses dadah jenis Eramin 5 bernilai RM43 juta di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Klang, pasukan itu menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor utama menyimpan dadah itu di Kapar, Klang dekat sini kelmarin.

Dalam kejayaan terbaru itu, polis merampas sebanyak 736,330 biji pil Eramin 5 bernilai RM14.9 juta di rumah berkenaan sekali gus menyekat kemasukan lambakan pil berkenaan ke pasaran tempatan.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan rampasan itu adalah sebanyak 3.76 juta biji pil Eramin 5.

Sebelum itu, pada 15 Mei lalu, polis Selangor turut mencatat kejayaan dengan merampas 158,950 biji pil khayal jenis Eramin 5 dan ekstasi bernilai RM5.25 juta di sebuah rumah yang dijadikan stor dadah di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini.

Pada hari sama, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula menahan seorang lelaki rakyat India kerana cuba menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 5.17 kilogram bernilai RM1.2 juta ke negara ini dengan menggunakan periuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini.

Pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotiknya, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan kelmarin, seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang ditugaskan sebagai pengawal stor berkenaan ditahan di rumahnya di Bukit Raja, Klang.

"Di dalam rumah dua tingkat itu, polis berjaya merampas 736,330 biji pil Eramin 5 serta 12.3 kilogram ephedrine iaitu bahan utama untuk membuat dadah jenis syabu.

"Selain itu, turut dirampas alat pengering yang digunakan untuk memproses dadah dan bungkusan dadah yang siap untuk diedarkan," katanya.

Noor Rashid berkata, siasatan mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk dua kes pemilikan dadah.

Katanya, polis percaya masih ada saki baki anggota sindiket berkenaan dan pihaknya masih mengadakan operasi serta siasatan lanjut untuk menjejaki suspek terbabit.

Dalam serbuan Sabtu lepas, polis menangkap 25 anggota sindiket termasuk warga Taiwan dan Nepal dalam 15 serbuan serentak di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Klang.

Seramai 10 orang ditahan di Pulau Pinang, enam di Klang dan selebihnya ditahan di sekitar Kuala Lumpur.

Ia merupakan kejayaan terbesar PDRM menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis Eramin 5 setakat ini dalam tahun ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...