Selasa, 15 Mei 2012

Polis: Tidak salah jual burger depan rumah Ambiga


DAP kutuk protes burger depan rumah Ambiga
KUALA LUMPUR - Polis tidak akan mengambil tindakan terhadap sekumpulan peniaga termasuk yang menjual burger di hadapan rumah Pengerusi Bersih Datuk S. Ambiga di Bukit Damansara baru-baru ini kerana mereka melakukannya di tempat awam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata peniaga boleh berhimpun dan berniaga di hadapan rumah ketua badan bukan kerajaan (NGO) itu, selagi mereka tidak mengganggu ketenteraman awam.

"Di bawah Akta Perhimpunan Aman 2011 (APA) semua orang boleh berhimpun asalkan memberi notis dan maklumkan kepada polis di mana boleh berhimpun. "Mereka (peniaga) berniaga di hadapan rumah dia (Ambiga) dan mereka buat di 'public space', mereka tidak menganggu orang awam... jadi tidak menjadi kesalahan kecuali jika mereka menimbulkan kekacauan baru kita boleh mengambil tindakan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Khalid yang ditemui selepas melancarkan kempen derma darah peringkat polis kontinjen Kuala Lumpur, ditanya sama ada polis akan bertindak terhadap laporan polis yang dibuat Ambiga pada 10 Mei lepas, susulan tindakan sekumpulan peniaga berhimpun dan berniaga di hadapan rumahnya.

Kumpulan peniaga itu termasuk seorang yang bertindak membuka gerai burger, dilapor berbuat demikian sebagai tanda marah selepas mengalami kerugian susulan perhimpunan bertukar ganas yang dianjurkan NGO pimpinan Ambiga di ibu kota pada 28 April lepas.

Mengulas lanjut, Khalid turut mencadangkan agar Ambiga mengambil tindakan saman terhadap peniaga burger terbabit jika tindakannya mengganggu privasi. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...