Siasatan polis berhubung dakwaan beberapa pemimpin pembangkang menghina institusi raja-raja Melayu sewaktu pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muad’zam Shah April lalu dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong berkata, apabila selesai, kertas siasatan di bawah Akta Hasutan 1970 tersebut akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Pada 13 April lalu, laporan muka depan Utusan Malaysia menyiarkan dakwaan seorang pegawai perubatan yang bertugas sewaktu istiadat tersebut bahawa beberapa pemimpin pembangkang menghina raja-raja Melayu dan pembesar negara.
Sementara itu, Chee Leong memberitahu, polis juga masih menyiasat kes serangan ke atas sekumpulan mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka untuk mendesak kerajaan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Setakat ini seorang telah ditahan selepas kejadian dan tiga lagi ditahan selepas itu," katanya.
Dalam perkembangan lain, menurut beliau, kementerian telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama yang lebih menyeluruh bagi membanteras gejala penjualan bayi di negara ini.
Katanya, selain Kementerian Dalam Negeri, ia turut dianggotai oleh Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran dan polis.