Khamis, 10 Mei 2012

Rang Undang-Undang Miros 2012 diluluskan


Image Detail
KUALA LUMPUR 8 Mei - Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) 2012 yang membolehkan institusi itu membantu merangka dasar-dasar dan program keselamatan jalan raya berdasarkan hasil kajian saintifik.

Mengandungi 60 fasal, ia antara lain memperuntukkan fungsi Miros dalam menjalankan kerja-kerja penyelidikan ke atas keselamatan jalan raya serta mencadangkan penyelesaian yang praktikal.

Selain itu, Miros turut berperanan merancang latihan dan melaksanakan penyeliaan program-program keselamatan jalan raya termasuk mengkaji semula piawaian dan hasil pembelajaran kurikulum yang disediakan institut memandu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri ketika menggulung perbahasan mengenai rang undang-undang itu berkata, mengikut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu adalah sebanyak 448,746 kes melibatkan 6,877 kematian.

"Berdasarkan kajian Bank Pembangunan ASEAN, daripada jumlah kematian itu negara kehilangan RM1.2 juta kepada pembangunan ekonomi bagi setiap kematian atau dijangka RM8.2 bilion setiap tahun dan mencecah RM9 bilion jika melibatkan kecederaan.

"Memandangkan sumbangan dan peranan Miros penting dalam aspek keselamatan jalan raya, satu rang undang-undang digubal untuk mengukuhkan kewujudannya dan memberi kuasa serta perlindungan undang-undang dalam melaksanakan fungsinya dengan sempurna," katanya.

Abdul Rahim berkata, penubuhan Miros selaras dengan hasrat kerajaan yang komited membendung masalah dan faktor-faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Terdahulu, beliau ketika memberi reaksi terhadap perbahasan Senator Rohani Abdullah yang mencadangkan kadar had laju bagi semua jalan raya perlu dikaji berkata, reka bentuk lebuh raya di negara ini adalah khusus untuk had laju tidak melebihi 110 kilometer sejam (km/j).

"Bagi jalan Persekutuan dan negeri pula, had laju kebangsaan adalah 90 km/j dan ia perlu dikurangkan kepada 70 atau 60 km/j jika terdapat banyak jalan keluar masuk dan pembangunan pesat di sekitar jalan berkenaan," ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...