KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan bersetuju untuk mengkaji semula aspek penggunaan cermin gelap, termasuk peraturan sedia ada, pengkuatkuasaan, keselamatan dan kepenggunaan, kata Pemangku Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau, yang juga Menteri Pertahanan berkata bahawa Kementerian Pengangkutan sedia maklum mengenai pandangan dan maklum balas rakyat yang beranggapan peraturan dan undang-undang berhubung penggunaan cermin gelap ketinggalan zaman.
"Susulan daripada pandangan dan maklum balas ini, saya ingin memaklumkan kementerian sedia mengkaji dan meminda semula peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan.
"Saya telah mengarahkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Long See Wool untuk menganjurkan bengkel khas bagi tujuan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
